Program Usrah dan Ziarah Dakwah Saudara Muslim |
DAN hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)”.(al-Maidah: 2).
Usrah merupakan medium dakwah dalam menyampaikan risalah Islam dan ilmu secara berkumpulan dengan membincangkan sesuatu perkara atau masalah bagi membentuk sahsiah yang unggul melalui tarbiah, tabligh, ziarah, sumbangan dan bantuan.
Sehubungan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Program Usrah dan Ziarah Dakwah Saudara Muslim bertempat di Sanctuary Resort Cherating, baru-baru ini.
Program itu mendapat kerjasama Perkim Bahagian Negeri Terengganu, Perkim Cawangan Kemaman serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Penyelaras program itu, Mohd. Subri Jaafar berkata, dalam usaha memperkasakan aktiviti dakwah dan kebajikan, khususnya dalam kalangan mualaf seluruh Malaysia, Perkim mengambil inisiatif mengadakan program berbentuk ziarah dan usrah kepada saudara Muslim.
Apatah lagi, beliau berkata, ia sejajar dengan moto program, Ukhuwah Itu Indah Andai Dijalin Atas Dasar Mahabbah Illah itu membina ukhwah Islamiah selain merapatkan silaturahim dan ukhwah Islamiah dalam kalangan saudara Muslim.
Mohd. Subri yang juga Pegawai Eksekutif Perkim Bahagian Negeri Terengganu menjelaskan, program itu akan diperluaskan ke daerah atau cawangan untuk dijadikannya sebagai acara tahunan.
“Program ziarah ini merupakan hasrat utama Perkim yang perlu diperkembangkan dan diperluaskan ke seluruh Malaysia. Selain dapat menjalinkan kerjasama dengan jabatan atau majlis agama Islam negeri-negeri dalam membantu kebajikan saudara Muslim,” ujarnya.
Selain Kemaman, program usrah dan ziarah itu telah dilaksanakan di Kluang (Johor), Sungai Petani (Kedah), Kuala Terengganu (Terengganu), Ipoh (Perak), Kota Bharu (Kelantan) dan Negeri Sembilan.
Selain itu, program itu menyediakan peluang kepada saudara Muslim bagi membincangkan dan memahami kaedah usrah serta teknik-teknik berkesan melalui bengkel, diskusi dan ceramah.
Pada program itu, Perkim telah menziarahi 20 saudara Muslim kategori baru memeluk Islam, daif, miskin, ibu tunggal dan warga emas di sekitar daerah Kemaman dengan menyampaikan sumbangan berbentuk makanan dan wang tunai.
Pada kesempatan itu Perkim turut memberi khidmat nasihat dalam mengenalpasti kekangan dan segala permasalahan yang dihadapi oleh Saudara Muslim yang masih baru atau lama memeluk agama Islam.
Ini juga salah satu usaha mengukuhkan lagi tali persaudaraan dan mahabbah kepada mereka sekali gus merapatkan hubungan persaudaraan sesama Islam.
Selain aktiviti ziarah, Perkim mengadakan bengkel kepada 67 Saudara Muslim yang terdiri daripada keturunan Cina, India, Orang Asli, Indonesia, Siam, Filipina, Kemboja, dan Ireland.
Peserta dipecahkan kepada enam kumpulan selepas menjalani ujian minda dan tahap kefahaman Islam yang diketuai oleh pemudah cara.
Motivasi Iman bertajuk Nikmat Terpilih Sebagai Muslim disampaikan oleh Ustaz Osmarizal Omar daripada Al-Iman Consultant & Training Center kepada peserta.
Peserta diberi panduan, tunjuk ajar dan bimbingan melalui Bengkel Usrah 1 dalam modul Hidayah dan Tuntutan Hidup Muslim.
Manakala modul Ibadah Yang Diterima Allah merupakan slot dalam Bengkel Usrah 2 dan slot Bengkel Usrah 3, peserta diberi kefahaman modul Fardu Ain.
Selain itu, peserta juga dipimpin solat berjemaah, qiamullail dan kuliah selepas solat dipimpin oleh Ustaz Mohd. Noor Lee Abdullah.
Program diserikan lagi dengan forum perdana Saudara Muslim bertajuk, Pendekatan Dakwah Rasulullah SAW dipengerusikan oleh Pegawai Dakwah dan Inovasi Perkim Kebangsaan, Muhammad Farhan Tee Abdullah.
Majlis penutup disempurnakan oleh Pengarah Unit Dakwah dan Inovasi Perkim, Datuk Zainal Abidin Ab. Kadir.
Zainal dalam ucapannya berkata, Allah SWT mahu umat Islam berhimpun, bermesra dengan mengikat silaturahim dalam bentuk perpaduan untuk menjadikan satu saf yang dapat dilihat di seluruh surau atau masjid setiap tiba lima waktu.
“Dalam dakwah terdapat harakah yang membawa maksud pergerakan iaitu sentiasa berubah dan bergerak menuju ke hadapan,” katanya.
Zainal menyatakan, dalam misi dakwah pada masa akan datang, pihaknya akan menekankan pergerakan untuk mempertahankan benteng ketahanan Islam dalam menghadapi cabaran-cabaran dan ancaman musuh.
“Perkara seperti ini harus dilakukan dengan kadar segera kerana ia akan menyebabkan terjadinya keruntuhan akhlak, akidah sekali gus merosakkan pemikian anak cucu kita kelak,” katanya.
Zainal turut menyampaikan hadiah kepada peserta terbaik pertandingan azan, kuiz Islam dan tilawah al-Quran serta sijil penghargaan.
Perkim turut memberikan Muhammad Raqeem Abdullah sebagai peserta terbaik keseluruhan program. -Utusan