#QZ8501: 4 Pegawai Trafik Udara Surabaya Dipecat

SURABAYA – Pihak berkuasa Indonesia semalam melucut jawatan empat pegawai pusat kawalan trafik udara Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di sini kerana cuai ketika menjalankan tugas mereka, lapor portal berita tempatan, Detik.com

Tindakan terbaharu itu adalah susulan langkah tegas penggantungan tugas semua pegawai daripada agensi penerbangan awam yang bekerja ketika hari nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 dilaporkan hilang pada pagi 28 Disember tahun lalu.

Laporan itu menyatakan, kesalahan pegawai terbabit ialah gagal memeriksa jadual musim sejuk bagi AirAsia yang membolehkan syarikat itu melakukan penerbangan di laluan Surabaya-Singapura pada hari Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu.

Mereka sebaliknya telah menggunakan jadual lama musim panas yang memang diluluskan pihak berkuasa bagi membolehkan syarikat tambang rendah berkenaan untuk melakukan penerbangan pada hari Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.

Laporan turut mendedahkan bahawa tiada keganjilan dikesan pada jadual penerbangan lain yang berlepas dari Surabaya susulan semakan secara menyeluruh terhadap semua operasi lapangan terbang kedua sibuk di Indonesia selepas Jakarta itu.

Juanda yang dibuka operasi sejak 1964 lalu kini mengendalikan 400 penerbangan setiap hari dengan mencecah lebih 17 juta penumpang setahun berbanding kapasiti ideal terminal hanya untuk menampung enam juta penumpang setiap tahun.

Dilaporkan sistem radar pusat kawalan trafik udara Juanda cuma mampu memantau 21 buah pesawat dalam masa sejam, namun ketika waktu puncak, mereka terpaksa mengurus kira-kira 45 buah pesawat sama ada mahu berlepas atau mendarat setiap jam.

Lapangan terbang itu yang diselia firma pengurusan lapangan terbang milik pemerintah, PT Angkasa Pura I ialah hub bagi syarikat penerbangan kebangsaan Garuda selain syarikat tambang rendah tempatan Lion Air, Citilink dan AirAsia Indonesia.

Syarikat lain yang berulang-alik ke Juanda ialah Airfast, Batik Air, Cathay Pacific, China Airlines, Eva Air, Express Air, Jetstar Asia Airways, Kal Star, Nam Air, Royal Brunei, Saudia, SilkAir, SIA, Sriwijaya Air, TigerAir, Trigana Air dan WingsAir. – Agensi