Rahsia Uniknya Masjid Negara

Masjid Negara
Kita semua tahu atau sedar bahawa dalam seni binaan masjid di negara ini. Selalunya mesti ada kubah separuh bulat dan beberapa buah menara serta kini, satu lagi ciri tambahan yang perlu ada adalah penyaman udara.

Sama ada seni bina itu mengikut gaya Asia Barat atau tidak, adalah tidak penting.

Apa pasti, sesuatu reka bentuk itu ada tujuannya, dan masjid bukan hanya untuk beribadat tetapi melaksanakan aktiviti keagamaan lain dalam suasana yang selesa.

Samalah dengan Masjid Negara. Masjid yang dibina pada tahun 1963 dan dirasmikan pada 27 Ogos 1965, hasil idea tiga orang arkitek dari Bahagian Reka Bentuk dan Penyelidikan, Jabatan Kerja Raya Persekutuan. Seorang daripada mereka Datuk Baharuddin Abu Kassim.

Masjid Negara merupakan lambang keagungan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia dan merupakan simbol bagi Malaysia yang baru dibentuk ketika itu. Masjid ini juga boleh menampung 15,000 orang jemaah.


Bagi Baharuddin, kalau dilihat pada pelan pembinaan masjid tersebut dari sudut seni bina moden, boleh dikatakan ia mengikuti konsep bangunan hijau yang kini menjadi keutamaan kerajaan hari ini.

Lagipun, jika dilihat pada bukaannya yang luas, serambi terbuka, siling yang tinggi dan telaga udara yang menyejukkan selain air kolam di tengah masjid jelas menunjukkan fungsi dan konsep masjid tersebut di sebuah negara beriklim tropika.

Dengan kata lain, reka bentuk masjid itu sebagai sebuah bangunan yang tidak akan memerangkap haba di siang hari.

“Memang tidak ada niat untuk menyediakan kemudahan bagi pemasangan penyaman udara dan atas sebab itulah, saya perlu pastikan kawasan sekeliling masjid dan juga reka bentuk dalamannya akan memberi keselesaan kepada jemaah.

“Satu ciri yang menjadi keutamaan saya pada masa itu adalah masjid perlu dikelilingi oleh air,” katanya ketika ditemui dalam satu seminar Masjid Negara, baru-baru ini.


Penekanan tersebut bagaikan satu usaha untuk menjadikan sesebuah bangunan itu mesra cuaca yang dialami oleh Malaysia.

Tidak hairanlah, Pengarah Prinsipal, Jurubena Bertiga International Partnership itu menegaskan, elemen air perlu menepati ciri-ciri yang boleh menenangkan fikiran ketika beribadat dan bersiar sekitar masjid tersebut.

“Tidak kiralah sama ada air itu datang dari tangki atau tempat tadahan air hujan yang dikitar semula, ia mesti menenangkan fikiran dan jiwa sesiapa yang berada dalam masjid itu,” katanya.

Atas sebab itulah, beliau tidak melihat sesuatu yang perlu untuk membina kubah separuh bulat, sebagaimana ciri biasa sesebuah masjid tetapi mengubahnya agar menyerupai sekaki payung yang kuncup pada menara manakala bumbung Masjid Negara pula, sekaki payung yang mengembang.

Rekaan sedemikian bukan hanya mudah untuk diselenggarakan tetapi boleh mengalirkan air hujan kepada kawasan takungan yang disediakan.


“Selain elemen air, kawasan sekitarnya dipenuhi pokok-pokok. Itu telah mematuhi ciri-ciri bangunan hijau. Tetapi, Masjid Negara dibina pada tahun 1968 dan ketika itu, tidak ada sesiapa yang bercakap tentang bangunan hijau.

“Cuma pada ketika tersebut, saya lakukan itu untuk menyejukkan suasana dalam dan luaran Masjid Negara,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui perubahan yang melanda kawasan sekitar masjid tersebut telah menyebabkan suasana sekitarnya turut berubah dengan ketara.

Malah, perubahan tersebut turut menyebabkan ada kawasan tertentu di masjid itu dilengkapi dengan penyaman udara.

“Bila banyak bangunan dibina di sekeliling dan mereka tebang pokok. Itu menyebabkan suasana suhu di masjid itu berubah,” katanya.  -Utusan