RIYADH – Siapakah sebenarnya Raja Salman bin
Abdul Aziz Al-Saud, iaitu raja baharu bagi Arab Saudi pada Jumaat minggu
lalu? Mungkin ramai yang setakat berkata, baginda ialah raja yang
memerintah ‘negara minyak’ terkaya di dunia ini.
Namun, tahukah anda, pada usia semuda 10 tahun,
Raja Salman sudah pun menghafaz Al-Quran di bawah bimbingan imam
Masjidil Haram, Sheikh Abdullah Khayat, malah baginda juga disifatkan
sebagai seorang yang warak.
Raja Salman khatam Al-Quran tiga kali pada setiap
bulan suci Ramadan, menurut kenyataan Kementerian Kebudayaan dan
Penerangan Arab Saudi, maka tidak hairanlah, raja baharu itu dilaporkan
seorang yang memiliki daya ingatan amat kuat.
Baginda menerima
pendidikan awalnya di Sekolah Putera-Putera di ibu kota, Riyadh bagi
mempelajari subjek pendidikan agama dan sains moden, namun Raja Salman
dikatakan lebih berminat terhadap pengajian sains sejak usia kecil lagi.
Ibarat ke mana
tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, kepandaian sains juga diwarisi
anakandanya. Tahukah anda, Raja Salman ialah ayahanda kepada Putera
Sultan, yang menjadi angkasawan Muslim pertama di dunia pada tahun
1980-an.
Seorang lagi anakanda lelakinya, Putera Khaled,
dilaporkan menjadi antara juruterbang tentera yang menjalankan serangan
udara terhadap kumpulan militan Daulah Islamiyah (IS) di Syria tahun lalu, menurut stesen penyiaran Amerika Syarikat (AS), CNN.
Portal berita Arabnews.com pula menulis,
sebagai seorang individu, Raja Salman seorang yang sangat menjaga masa,
dan tidak suka lambat bahkan baginda sampai ke pejabat tepat pada
masanya setiap hari, sepanjang tahun.
Lantaran itu, Raja Salman kurang suka jika orang
membazirkan masa baginda kerana baginda rajin melawat orang sakit dan
menghadiri upacara pengebumian di tengah-tengah kesibukan dan jadual
padat rasmi sebagai putera mahkota dahulu.
Raja yang menjadi pengamanah Masjidil Haram dan
Masjidin Nabawi di dua kota suci umat Islam, Makkah dan Madinah itu juga
dilaporkan seorang yang penyabar, laman berita Saudi Gazette melaporkan.
Raja Salman (kanan) berbual mesra dengan Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Shariff. – Gambar hiasan |
Namun, setelah mendengar rungutan lelaki
berkenaan, baginda tidak marah sebaliknya ketawa dan menyuruh lelaki itu
duduk bertenang sambil menambah, jika lelaki itu berhak, baginda akan
mendapatkan apa yang diinginkan orang biasa tersebut.
Pada umumnya, kerabat diraja Arab Saudi sememangnya ‘meriah’ sehingga majalah antarabangsa The Economist pernah melaporkan, keluarga besar Saud yang ditubuhkan awal kurun ke-20 lalu ada sehingga 15,000 putera dan puteri.
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama (kiri) amat menghormati Raja Salman sebagai penjaga dua kota suci umat Islam. – Gambar hiasan |
Satu kabel diplomatik kedutaan AS di sini yang dibocorkan oleh laman WikiLeaks
menyifatkan Raja Salman yang dilahirkan pada 31 Disember 1935, sering
menjadi ‘pengadil’ dalam menyelesaikan pertikaian anggota kerabat
diraja.
Walaupun baginda merupakan raja ketujuh Saudi yang
diasaskan pada 1932, bekas duta AS ke Riyadh, Robert Jordan pernah
dipetik akhbar New York Times sebagai berkata, Raja Salman seorang pentadbir cekap, tidak rasuah dan sangat berpendidikan.
Pemimpin baharu itu juga terkenal dengan kerja
kebajikan sebagai presiden Pusat Putera Salman bagi Kajian Golongan
Kurang Upaya, presiden kehormat Persatuan Kebajikan Putera Fahd bin
Salman bagi Jagaan Pesakit Ginjal dan presiden kehormat Pusat Pemindahan
Organ Saudi.
Baginda yang kini
berusia 79 tahun itu banyak menerima pelbagai pingat bagi usaha
kemanusiaan termasuk daripada Perancis, Bahrain, Maghribi, Palestin,
Filipina, Yaman dan Pertubuhan Bangsa Bersatu. – Agensi