Ramli MS Enggan Komen, Alyah Mohon Maaf Tak Dapat Kawal Emosi

Komposer terkenal, Datuk Ramli MS enggan memberi sebarang komen mengenai gambar yang dimuat naik isterinya, Alyah, menerusi laman instagram dan mendakwa dirinya seolah teraniaya gara-gara seorang wanita yang bergambar dengan suaminya itu.

Kata Ramli, pertanyaan mengenai isu tersebut sewajarnya ditanya pada Alyah sendiri ekoran isterinya bertanggungjawab memuatnaik gambar berkenaan dengan kapsyen yang menggemparkan ruangan gosip hiburan tanahair itu.

"Tanya dia (Alyah) kerana dia yang masukkan. Saya tak nak komen apa-apa. Anda kena faham saya tak tahu apa-apa kerana gambar ini dia yang masukkan. Saya minta maaf," kata komposer itu yang dipetik dari akhbar myMetro, hari ini.

Industri hiburan tanah air tiba-tiba gempar semalam apabila penyanyi yang popular dengan lagu Kisah Hati, Datin Alyah, mengeluarkan kenyataan bahawa suaminya, pengarah muzik Datuk Ramli MS, seolah telah mengahwini wanita lain secara diam-diam.

Kenyataan tersebut mula tersebar setelah ia dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan yang dikatakan menghubungi sendiri penyanyi tersebut yang nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hassan itu.

Gambar-Alyah-menangis-1

Perkembangan terbaru mengenai gosip berkenaan hari ini pula lain pula ceritanya.

Alyah kali ini tampil menafikan dirinya mengeluarkan kenyataan tersebut dan mengejutkan ramai pihak dengan permohonan maaf atas ketelanjurannya tidak dapat mengawal tekanan emosi kerana wanita bersama suaminya di dalam gambar tersebut.

Menjelaskan keadaannya, Alyah mengatakan dirinya "tidak pernah" mengeluarkan kenyataan suaminya menikahi wanita tersebut dan hanya mengucapkan tahniah kepada wanita itu kerana "berjaya menghancurkan rumahtangganya".

ramli2

"Saya post pic tadi kerana saya sudah tak mampu mengawal emosi. Perempuan dalam pic tu dari saya berkawan sampai saya dah berkahwin sering menganggu hubungan saya. 

“Yang saya ucapkan pada sesiapa yang menghubungi saya untuk ditemubual adalah, tahniah kepada perempuan tersebut kerana berjaya menghancurkan rumahtangga saya. Saya tak pernah keluarkan kenyataan suami saya kahwin dengan perempuan itu.

"Maafkan saya kerana hari ini saya tidak dapat menahan emosi dan saya telah melakukan kesilapan yang besar. Tapi janganlah memanipulasikan cerita saya sampai semuanya jadi tidak benar," kata Alyah yang dipetik dari laman instagramnya hari ini.

ramli

Malah menerusi kenyataan tersebut,  Alyah turut memuatnaik sekeping gambar bersama Ramli MS dalam keadaan bahagia di laman instagramnya itu.

Apa pun, Kedahnews.com mengharapkan agar "masjid" yang terbina di antara dua insan seni berbakat besar ini tidak bergolak lagi sebagaimana yang pernah berlaku pada selebriti-selebriti industri hiburan tanahair sehingga mencetus penceraian.

Meskipun dihalalkan Islam, penceraian merupakan perkara halal yang tidak disukai Allah SWT, apatah lagi melibatkan umat Muhammad SAW. Semoga jodoh antara Ramli dan Alyah kekal dan bahagia selamanya... -Kedahnews.com