RM Pulih Berbanding USD

KUALA LUMPUR - Ringgit pulih semula daripada penurunan selama empat hari baru-baru ini dan naik daripada paras terendah dalam lima tahun setengah untuk ditutup lebih tinggi hari ini berbanding dolar, kata seorang peniaga.

Pada jam 5 petang, mata wang tempatan itu disebut harga pada 3.5650/5680 berbanding dolar, daripada 3.5800/5820 pada Rabu. 

Katanya, ringgit mengurangkan kerugian seiring dengan mata wang negara membangun lain selepas sentimen pelabur bertambah baik berikutan pemulihan dalam ekuiti global serta harga minyak yang tidak terus turun hari ini. 

"Data perdagangan November yang lebih kukuh meredakan kebimbangan ke atas defisit ekonomi Malaysia, ini memberikan sedikit sokongan kepada kecenderungan mata wang tempatan yang semakin lemah," katanya. 

Ringgit juga diniagakan rata-rata lebih tinggi berbanding mata wang utama yang lain. 

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.2038/2085 daripada 4.2484/2518 pada Rabu dan menokok berbanding yen kepada 2.9765/9803 daripada 3.0064/0083 semalam.

Mata wang tempatan itu mengukuh berbanding pound kepada 5.3603/3659 daripada 5.4151/4192 pada Rabu dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.6642/6675 dari 2.6786/6805 sebelum ini. - BERNAMA