Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani
Abdul Karim hari ini membuat tinjauan banjir di Sarawak yang bermula di
Kuching dan menyifatkan ianya membimbangkan.
Kementerian itu dalam satu kenyataan media hari ini berkata menerusi
tinjauan yang dilakukan, didapati keadaan agak membimbangkan dan
kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bersiap
siaga dari awal dalam berdepan sebarang kemungkinan.
“Rohani dalam lawatan tersebut turut ke Bilik Gerakan Bencana Banjir
JKM Negeri Sarawak yang beroperasi 24 jam yang diselaraskan oleh seluruh
warga kerja JKM Sarawak,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut, laporan sehingga pukul 4 petang hari ini
menunjukkan bahawa sebanyak 44 pusat pemindahan telah dibuka di negeri
Sarawak yang terjejas banjir melibatkan seramai 1,951 keluarga dengan
8,067 mangsa.
“Saya amat mengambil berat dengan keadaan banjir di Sarawak, saya
berharap persediaan pengurusan banjir di sini lebih aktif walaupun
terpaksa berhadapan dengan cabaran yang lebih besar disebabkan faktor
lokasi,” kata Rohani dalam kenyataan sama.
Faktor Geografi negeri itu yang besar dan luas termasuk kawasan
pedalaman yang berjauhan antara satu tempat dengan tempat yang lain agak
menyukarkan saluran penyampaian bantuan.
Warga emas yang tidak berkeupayaan terpaksa diangkat untuk dipindahkan dalam keadaan banjir di Kampung Endap, Samarahan. |
“Kita berusaha sedaya upaya agar bantuan dapat disampaikan kepada semua mangsa bencana dalam keadaan selamat,” kata beliau.
Bagi negeri di Semenanjung Malaysia yang dilanda banjir, Kelantan dan Perak tidak berubah berbanding rekod pada tengah hari.
Tengah hari tadi, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di
pusat-pusat pemindahan di Sarawak ialah pada 6,952 manakala di Kelantan
merekodkan 255 orang dan Perak 78 orang.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak berkata sebanyak 23
pusat pemindahan dibuka di Kuching menempatkan 4,269 mangsa, sebanyak
13 pusat pemindahan di Samarahan dengan 1,729 mangsa, tiga pusat
pemindahan di Limbang menempatkan 765 mangsa manakala dua pusat
pemindahan di Mukah dengan 189 mangsa.
Menurut MKN negeri itu, sebanyak 14 buah sekolah masih ditutup akibat banjir manakala 22 buah lagi masih beroperasi.
Sumber: Mynewshub.cc