ALOR SETAR - Seorang ibu dan tiga anaknya nyaris maut apabila rumah
mereka di Kampung Tanjung Musang di sini musnah dijilat api awal hari
ini.
Kebakaran yang dipercayai berpunca daripada litar pintas di sebuah
bilik itu mengakibatkan mangsa, Roshidah Ramli, 50 menanggung kerugian
RM100,000.
Beliau berkata semasa kejadian pukul 2 pagi itu, dia bersama dua
anaknya Muhammad Irfan Hashim, 9, dan Muhammad Haikal, 11, sedang tidur
di bilik bawah rumah itu dan ternampak cahaya api menerusi tingkap
biliknya.
Peniaga kedai makan itu berkata dia kemudiannya bergegas ke tingkat
atas rumah bagi menyelamatkan anak sulungnya Muhammad Amirul, 18, yang
tidur di bilik bahagian atas rumah itu.
"Masa kakak naik atas tengok api sudah marak. Anak kakak yang sulung
itu sudah terjun ke luar rumah," katanya kepada pemberita ketika ditemui
di tempat kejadian hari ini.
Roshidah berkata, semasa kejadian, suaminya Hashim Mat Akhir, 53,
sedang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hospital Alor Setar.
Katanya sebuah kereta jenis Proton Iswara milik suaminya dan sebuah
Perodua Kancil milik anak saudaranya yang berada di bawah rumah turut
musnah dalam kebakaran itu.
Muhammad Haikal yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Langgar di sini
berkata segala pakaian dan peralatan sekolahnya yang baru dibeli musnah
dalam sekelip mata.
"Sedih lah... habis tak ada apa. Tak boleh pergi ke sekolahlah," katanya.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)
Kedah berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 2.14 pagi dan 16
anggota berserta dua jentera tiba di tempat kejadian kira-kira 2.25 pagi
tadi.
Katanya, api dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 2.41 pagi dan punca kejadian masih dalam siasatan. - Bernama