Pemain Malaysia, Faizal Saari beraksi menentang Singapura pada perlawanan peringkat kumpulan A saingan pusingan kedua Hoki Liga Dunia 2015 di Stadium Hoki Sengkang di sini, semalam. - Foto BERNAMA |
SINGAPURA – Malaysia menamatkan saingan Kumpulan A Pusingan Kedua
Liga Hoki Dunia 2015 dengan berpesta gol apabila membelasah Singapura
16-1 di Stadium Hoki Sengkang, di sini malam tadi.
Kejayaan itu meletakkan Malaysia di kedudukan teratas kumpulan
berkenaan dengan sembilan mata setelah mencatat tiga kemenangan
berturut-turut pada kejohanan tersebut.
Skuad bimbingan Tai Beng Hai itu akan berdepan Mexico, yang menduduki
tangga tercorot dalam Kumpulan B, pada suku akhir Khamis ini.
Dalam perlawanan hari ini, Faizal Saari muncul penjaring terbanyak
Malaysia apabila menjaringkan enam gol pada minit ke-6, 19, 25, 31, 32
dan 51.
Gol Malaysia lain dijaringkan oleh Muhammad Firhan Ashari (minit
ke-13, 25), Muhammad Razie Abdul Rahim (minit ke-24, 52), Muhammad Haziq
Shamsul (minit ke-37, 53), Muhammad Marhan Mohd Jalil (minit ke-42) dan
Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin (minit ke-44).
Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil turut mencatat nama dalam senarai
penjaring apabila melengkapkan kemenangan besar Malaysia dengan
menyumbat masuk dua gol pada minit ke-58 dan 60.
Gol saguhati Singapura dijaringkan oleh Ian Vanderput pada minit ke-32. – BERNAMA