Sakit Tulang Belakang Tidak Halang Zulfa Cemerlang STAM Di Maktab Mahmud


ALOR SETAR - Berhadapan dengan masalah tulang belakang bengkok sejak lima tahun lepas tidak pernah mematahkan semangat seorang pelajar perempuan untuk berusaha sehingga memperoleh keputusan Mumtaz (cemerlang) dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
  
Pelajar Maktab Mahmud Alor Setar, Zulfa Ahmad Shukri, 18, berkata, sebaliknya masalah kesihatannya menjadi pembakar semangat untuk berjaya dalam peperiksaan itu bagi meneruskan cita-cita untuk menjadi seorang pensyarah.
  
Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, pihak sekolah turut menyediakan satu kerusi khas bagi membolehkan dia duduk dengan selesa dan lebih lama ketika proses pembelajaran.
  
Zulfa yang tinggal di Taman Sawa di sini berkata dia mengalami sakit tulang belakang yang serius ketika di Tingkatan Empat dan menjalani satu pembedahan pada Julai 2012.
  
"Lepas pembedahan saya dapatkan rawatan susulan. Masa di rumah, ibu yang banyak bantu...kalau lenguh-lenguh belakang ibu yang urutkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Maktab Mahmud Alor Setar di sini hari ini.
  
Ditanya mengenai rahsia kejayaannya, Zulfa berkata dia sering mengulang kaji pelajaran pada awal pagi selepas membaca al-Quran serta mengamalkan pemakanan yang berkhasiat dan tidak membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah.

"Solat sunat Dhuha selalu saya buat dan doa daripada ibu bapa amat penting untuk kita berjaya," katanya.
  
Pelajar lelaki maktab yang sama, Wan Muhammad Ajwad Wan Mohd Asri, 19, yang juga memperoleh Mumtaz berkata, doa daripada ibu bapa dan guru merupakan perkara penting untuknya berjaya dan mendapat keputusan yang cemerlang.
  
"Sering bertanya kepada guru mengenai apa yang kita tak tahu dan sering berbincang dengan rakan-rakan yang arif dalam mata pelajaran tertentu membuatkan kita mudah ingat apa yang kita pelajari," katanya.
  
Anak sulung daripada empat beradik dari Kuala Nerang dan bercita-cita untuk menjadi pensyarah berkata dia akan menyambung pelajarannya di al-Azhar, Mesir dalam bidang Usuluddin.
  
Di Kedah, 33 daripada 1,653 calon yang mengambil peperiksaan itu tahun lepas, mendapat keputusan Mumtaz (cemerlang), 107 calon memperoleh keputusan Jayyid Jiddan (sangat baik), 291 memperoleh Jayyid (baik) dan 110 calon memperoleh Maqbul (lulus). -Bernama