Penyanyi Ainan Tasneem menegaskan tuduhan kononnya dia berkelakuan
sumbang dikhalayak dengan teman lelakinya adalah fitnah yang sengaja
direka-reka bertujuan menjatuhkan maruahnya.
Ainan atau nama sebenarnya Ainan Tasneem Ridzuan, 23, berkata,
biarpun namanya tidak segah penyanyi lain namun dia sedar gerak-gerinya
sentiasa diperhatikan masyarakat dan pelik apabila dijadikan sasaran
pihak tertentu.
“Mungkin nama saya tidak segah selebriti lain namun rasanya orang kenal siapa Ainan Tasneem tambahan pula di Perlis.
“Saya bukan bodoh sangat untuk berkelakuan seperti didakwa kerana
sedar gerak-geri diperhatikan dan dakwaan itu fitnah semata-mata,”
katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad.
Ainan berkata demikian sebagai respon kepada artikel sebuah akhbar
mingguan yang melaporkan dia dan kekasihnya berjalan berpimpinan tangan
selepas selesai makan di sebuah restoran pada 9 Disember lalu.
Dakwaan daripada seorang pembaca menerusi e-mel itu turut memberitahu
pasangan berkenaan tidak segera beredar sejurus memasuki kereta Honda
Jazz berwarna biru sebaliknya mendakwa mereka ‘bermesra-mesraan’ hampir
45 minit di dalam kereta berkenaan sebelum beredar.
Ainan bagaimanapun tidak menafikan ada berkunjung ke restoran
berkenaan bersama lelaki tersebut pada tarikh berkenaan namun menyangkal
dakwaan berdua-duaan dengan teman lelakinya itu di dalam kereta.
“Saya tidak mengetahui mengenai fitnah ini sehinggalah ada peminat
yang bertanyakan hal berkenaan di Instagram kerana masih belum sempat
membaca akhbar.
“Terkejut saya apabila membaca artikel berkenaan kerana bukan sahaja
dituduh berpegangan tangan tetapi dikatakan ‘bermesra’ pula di dalam
kereta. Ia tidak masuk akal,” katanya.
Dalam pada itu, Ainan berkata, dia tidak pasti sama ada dakwaan
berkenaan dibuat kerana ada pihak berdendam dengannya kerana tidak
mempunyai musuh.
Malah katanya, teman lelakinya itu juga sentiasa mengingatkan
mengenai batas pergaulan mereka kerana bimbang akan menjadi perbualan
masyarakat.
“Jika benar saya berkelakuan tidak senonoh mengapa pengirim e-mel
berkenaan tidak menegur perbuatan saya itu secara berhadapan atau
mengambil gambar kami untuk dijadikan bukti sokongan kepada dakwaan
tersebut?
“Saya tidak pasti sekiranya ada pihak yang berdendam dengan saya
sehingga sanggup mereka cerita seperti itu dan ia satu fitnah,”
jelasnya.
Sementara itu, menjawab tuduhan kononnya mereka bercuti ke Eropah
bersama teman lelakinya itu, Ainan berkata, pemergian mereka ke sana
bukan berdua sebaliknya turut ditemani oleh ahli keluarga lelaki
tersebut.
“Hubungan saya dan keluarga teman lelaki memang akrab dan sebaliknya.
Saya sedar kedudukan saya sebagai seorang penuntut universiti dan
selebriti, takkan saya sanggup mencemarkan imej keluarga kedua-dua belah
pihak.
“Pemergian kami ke sana juga bukan rahsia malah ibu bapa saya mengetahui tentang itu,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ainan berkata dia kini sibuk dengan
pengajian semester akhirnya di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam
bidang Ijazah Sarjana Muda Kejuteraan BioProses.
Jelas Ainan, dia juga bakal merakamkan sebuah single bersama ahli
kumpulan Sleeq iaitu Aliff yang akan dilancarkan pada tahun ini.
“Sekarang memang sibuk dengan pengajian dan ingin buat yang terbaik
kerana saya berhasrat untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana
selepas ini,” katanya. – mStar
