ALOR SETAR – “Saya sanggup sembah kaki tuan. Tolonglah, lepaskan
saya,” demikian rayuan seorang warga Bangladesh bagi mengelakkan diri
dicekup dalam operasi dijalankan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik),
kelmarin.
Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-Undang, Syeikh Mohd Roshidi
Mahmud berkata, lelaki berusia 27 tahun berkenaan ditahan bersama
pasangannya seorang wanita Kadazan berusia 30.
“Lelaki Bangladesh itu memberitahu mereka merancang untuk berkahwin, malah teman wanitanya dalam proses mendalami Islam.
“Mereka antara 15 orang berusia antara 16 hingga 34 tahun yang ditahan dalam operasi di sekitar bandar raya ini,” katanya.
Menurutnya, turut ditahan dalam operasi itu adalah duda anak dua bersama pasangannya berusia 30 tahun dalam hotel sama.
“Ketika serbuan, lelaki berusia 34 tahun itu cuba melarikan diri
dengan terjun dari tingkat dua bilik hotel menggunakan selimut putih.
“Pasangannya pula memberikan alasan membeli peralatan persekolahan
untuk anak pasangannya berusia 9 dan 14 tahun sebelum mengambil
keputusan menyewa bilik hotel,” katanya.
Dalam serbuan di hotel berlainan, seorang lelaki tidak berbaju dan
hanya berseluar jeans pendek berusia 28 tahun cuba meloloskan diri
melalui lubang siling tandas hotel.
Anggota Jaik bertindak mengetuk pintu tandas berulang kali namun
lelaki berkenaan enggan keluar sebelum dipujuk pasangan wanitanya.
Syeikh Mohd berkata, wanita berusia 28 tahun berkenaan mendakwa
mereka adalah sepupu yang datang dari Langkawi semata-mata mahu meraikan
sambutan tahun baharu.
“Kesemua yang disyaki bersekedudukan dibawa ke Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Kota Setar sebelum dibawa ke Pejabat Jaik untuk disoal
siasat,” katanya. – Sinar Harian