Alor Setar – Pembayaran bonus sebanyak setengah
bulan gaji atau minimum RM500 kepada penjawat awam dan bantuan khas
RM250 kepada pesara kerajaan disahkan akan dibayar lebih awal iaitu pada 15 Januari ini.
Memetik sumber, pihak Kerajaan bersetuju untuk berbuat demikian ekoran terdapat penjawat awam yang terlibat dalam bencana banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan beberapa buah negeri lain, termasuk di Sarawak.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah menjelaskan bahawa keputusan itu berikutan kerajaan prihatin dan memahami situasi
semasa terutama sekali penjawat awam yang terlibat dalam bencana banjir.
“Kerajaan berharap pemberian ini (pembayaran awal bonus) dapat
meringankan beban penjawat awam akibat banjir serta membantu persediaan
persekolahan anak-anak,” katanya dalam satu kenyataannya di ibu negara, hari ini.
Banjir yang berlaku di beberapa negeri sejak pertengahan Disember
lalu mengakibatkan ratusan ribu mangsa terlibat dan terpaksa dipindahkan, manakala angka terkini menunjukkan sejumlah 41,421 orang lagi masih ditempatkan di
pusat-pusat pemindahan.
Musibah yang melanda negara itu dikatakan adalah banjir yang terburuk sejak tahun 1971 dan dianggarkan melibatkan kerugian ratusan juta ringgit. -Kedahnews.com