Segmen "RARE": Setem-Setem Kedah Yang Mungkin Kita Tidak Pernah Lihat


Sekiranya dirujuk kembali di zaman kita sewaktu kecil, tidak dapat dinafikan hobi "mengumpul setem" merupakan jawapan paling popular yang diberikan kepada guru kita setiap kali ditanya di dalam kelas di sekolah rendah.

Namun, ramai pula yang berpeluh dan "kalut" bila guru meminta kita membawa koleksi setem yang kita kumpul, kan? Ada yang sibuk meminta ibu dan ayah bawa ke pejabat pos untuk beli setem dan ada pula yang "berpeluh" gunting setem yang terlekat pada surat-surat yang ada di rumah.

Itu kenangan dulu...

Namun, Kedahnews.com yakin bahawa masih ramai yang tidak tahu bahawa Kedah merupakan antara negeri terawal yang memiliki setem sendiri.

Justeru itu, kami berbesar hati untuk berkongsi beberapa bentuk dan rupa setem zaman dahulu kala yang terdapat di negeri Kedah.

Untuk makluman, meskipun setem-setem berkenaan hanya berharga 1 sen ketika itu, namun di zaman ini ia berharga lebih dari RM5,000 untuk setiap setem! 

1. Setem ini dikeluarkan sekitar tahun 1919 hingga 1921 dan memaparkan gambar seberkas padi dengan nilai 1 sen dan 3 sen. Harga pasaran setem tersebut yang terkini adalah bernilai RM1,608.
2. Setem ini yang memaparkan Sultan Kedah yang ke-25, Al-Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibni Al- Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah yang diterbitkan pada tahun 1937 dengan harga 10 sen, 12 sen dan 30 sen. Kini harganya dikatakan mampu mencecah RM1,500 setiap satu.
3. Setem Kedah yang memaparkan gambar petani sedang membajak sawah dengan menggunakan lembu sebagai kaedah tradisional ini pula diperkenalkan sekitar tahun 1912 dengan nilai 40 sen. Namun nilainya kini dikatakan berharga RM2,250 sekeping.
4. Setem berharga $500 ini pula merupakan antara setem termahal yang pernah dikeluarkan di negeri Kedah pada sekitar tahun 1937. Harganya di pasaran kini dikatakan mencecah RM5,255 setiap satu.
5. Setem berharga $2 yang memaparkan gambar Balai Besar DiRaja ini dikeluarkan sekitar tahun 1922 dan sangat jarang ditemui. Menurut nilai pasaran, harganya mampu mencecah hampir RM7,000!
Menurut para pengumpul stem, nilai bagi setiap stem di pasaran kini ditentukan oleh beberapa faktor seperti jenis material stem berkenaan yang diperbuat dari jenis kertas ketika itu.

Selain itu, jenis dakwat, kaedah pembuatan stem, warna, tempoh dikeluarkan, ketahanan stem dan keadaan stem berkenaan turut dikatakan antara penyebab harga bagi stem tersebut melambung tinggi hingga mencecah ribuan ringgit.

Kami sebagai anak Kedah, berbangga dengan stem-stem yang pernah lahir dari bumi jelapang padi ini, anda pula bagaimana? -Kedahnews.com