Saleem... |
Kes bekas vokalis sebuah
kumpulan popular tahun 90an, berusia 43 tahun yang ditahan polis
bersama wanita berusia 33 tahun di Keramat sebelum didapati positif
dadah jenis heroin, pada Rabu bukanlah kes pertama melibatkan
penyalahgunaan dadah di kalangan artis atau selebriti tempatan.
Seperti
artis-artis barat yang tidak lari daripada masalah
penyalahgunaan dadah, artis-artis Malaysia tidak terkecuali daripada
gejala ini.
Berikut, senarai artis-artis Malaysia yang pernah dikatkan dengan kesalahan penggunaan dadah:
Shereen, pelakon/penyanyi
Pelakon
dan penyanyi Noor Sheereen Mohamad Hadzim atau Shereen melahirkan rasa
lega dan bersyukur setelah Mahkamah Majistret melepas tanpa
membebaskannya daripada tiga pertuduhan mengawal dan memiliki dadah,
empat tahun lalu.
Pada 23 Mac 2005 Shereen bersama teman lelakinya dan dua rakan mereka dituduh mengambil dadah methamphetamine.
Mereka
didakwa melakukan perbuatan itu di rumah bernombor C1-1-C3, Pangsapuri
Subang Villa Ehsan, Jalan PJS 10/11, Taman Sri Subang pada pukul 2 pagi
15 Mac 2005.
Saleem – Iklim, penyanyi
Pada
12 Mac 2005, anak jati Kampung Permaisuri, Setiu, Terengganu ini
didapati bersalah memiliki satu paket plastik mengandungi 0.06 gram
campuran heroin dan monoacetlymorphine serta satu lagi paket plastik mengandungi 0.06 gram dadah serupa pada Julai 2004.
Saleem terpaksa menjalani hukuman penjara selama lapan bulan bermula 13 Disember 2004.
Samzy Fuzette, pelakon
Samzy
Fuzette A. Samad, pelakon dan abang kepada Zizie Ezette dan Shahizy Sam
didakwa memiliki syabu, ditahan di Bukit Antarabangsa pada 11 April
2005. Dadah tersebut disimpan di dalam 10 paket plastik lutsinar dalam
beg milik Samzy.
Samzy disabit kesalahan dan dihukum penjara 30 bulan serta tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret Ampang.
Baby Erin – Res2, penyanyi
Bekas
penyanyi Kumpulan Res2, Lily Zarina Khalil atau Baby Erin ditahan
bersama pelakon Samzy Fuzette Abdul Samad serta empat yang lain, mengaku
bersalah atas kesalahan memiliki dan menghisap dadah jenis syabu atau methamphetamine.
Ameng – Spring, penyanyi
Penyanyi
terkenal kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali
sebagai Ameng, kini sedang menjalani hukuman di penjara.
Pada Oktober 2005, Ameng mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Besut, Terengganu atas tuduhan menagih dadah jenis methamphetamine di Kampung Batang Gergaji, Besut pada 3 September tahun tersebut.
Pada
bulan Disember tahun sama, Ameng atas kesalahan yang diakuinya,
dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah
Majistret Besut, Terengganu setelah mengaku salah menagih dadah pada
awal September 2005.
Ameng
sekali lagi ditahan dan dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda
RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas didapati bersalah
terhadap tuduhan memasukkan ganja ke dalam badannya di pejabat Bahagian
Siasatan Jenayah Narkotik Sentul, Kuala Lumpur.
12
April 2011, Ameng dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 kali
sebatan di Mahkamah Sesyen Melaka kerana kesalahan dadah manakala
isterinya, Sabariah Zakariah pula dibebaskan.
Jamal Abdillah, penyanyi
Jamal Abdilah ditahan pada 18 Jan 2007 bersama sepupunya di sebuah rumah rehat di Teluk Intan kerana disyaki memiliki dadah.
Hasil pemeriksaan yang dilakukan, polis menemui satu tiub dadah dipercayai syabu di dalam bilik berkenaan.
Bagaimanapun,
Jamal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki dadah di Mahkamah
Majistret Teluk Intan dan dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak
RM1,000.
Jamal pernah menjalani program rehabilitasi di Pengasih selama hampir lima tahun.
Zack – New Boyz, pemain bass
Zack
atau nama sebenarnya, Radin Irwan Dzul Karnain Isagani, 32, didakwa
mengedar 1.321kg ganja di K-11-9, Jalan PJU 6, Persiaran Pelangi
Damansara, Petaling Jaya, jam 9.20 malam, pada 26 Januari 2010.
Bapa
kepada dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah
Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang
memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pada
awal 2013 pemain bass kumpulan New Boyz itu telah ditahan reman selama
tiga tahun di Penjara Sungai Buloh, dilepaskan hukuman gantung apabila
didapati tidak bersalah oleh Hakim Datuk Akhtar Tahir
Benjy, pelakon
Khaeryll Benjamin atau Benjy, anak kepada Allayarham biduanita Azean Irdawaty juga terlibat dengan sindiket pengedaran dadah.
Benjy
ditangkap bersama teman wanitanya di Segambut pada 11 Mac 2010 ditahan
kerana disyaki memiliki 850 gram kokain dan 1.4 gram syabu dengan nilai
rampasan bernilai RM650,000.
Dalam serbuan, polis menemui makmal memproses dan membungkus dadah.
Pada masa itu, Benjy sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia 4 tahun manakala teman wanitanya, disahkan positif methamphetamine ketika melakukan ujian air kencing.
Benjy terlepas hukuman gantung mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.
Pada 27 Jun 2013, Benjy sekali lagi
ditahan atas kesalahan menyalahguna dadah dalam satu serbuan di sebuah
kondominium di Bukit Antarabangsa. Ujian air kencing yang dijalankan
mendapati dia positif dadah jenis syabu.
Saiful Apek, pelawak/pelakon
Saiful Apek didapati bersalah bersalah memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badannya pada 12 Jun 2010.
Pada
22 Mei 2013, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan pelawak itu
membela diri selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan
Mahkamah Majistret membebaskan mereka daripada pertuduhan pada 25 Jun
tahun sama.
Saiful Apek dan pekerjanya dibebaskan selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Radhi – O, penyanyi
Bekas
penyanyi kumpulah Old Automatic Garbage (OAG), Mohd Radhi Razali
ataupun Radhi-O mengaku telah menjadi hamba dadah sejak berumur 15 tahun
dan menjalani pemulihan dadah di Pengasih pada Januari 2011.
Radhi kini menjalani hidup bebas dadah.
Zarina Anjoulie, model/pelakon
Pelakon
dan model, Zarina Anjoulie Lavocah Mohamad Fahizul ditahan kerana
didakwa memiliki dua biji pil Eramin 5 dan positif dadah jenis methampetamine
bersama seorang rakan lelakinya di Armanee Condominium di Jalan PJU
10/1C, Damansara Damai, Petaling Jaya pada 30 Disember 2013.
Kedua-duanya
mengaku tidak bersalah memiliki dua pil Eramin 5 seberat 0.6gram ketika
pertuduhan tersebut dibacakan oleh Majistret Nazri Omran. Mereka berdua
boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang
boleh membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000
atau kedua-duanya sekali.
Zarina juga pernah ditangkap polis pada satu Ops Perayaan Tahun Baru Cina 2010 di LCCT kerana disyaki mengambil dadah.
Ezad – Exist, penyanyi
Ezad
Exist yang berusia 35 tahun telah ditahan di perkarangan tempat letak
kereta di sebuah pusat beli belah di Selayang kerana memiliki satu peket
dadah syabu pada 20 November 2014.
Timbalan
Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Muhammed Hasbullah Ali ketika
dihubungi berkata, hasil pemeriksaan ke atas artis terbabit menemui satu
peket lutsinar dadah jenis syabu seberat 0.3 gram dalam gengaman tangan
kiri.
Ezad menjalani ujian air kencing dan disahkan positif dadah syabu. – Astro Awani