Seramai 4 Juta Wanita Arab Saudi Dijangka Hidup Membujang

Dilaporkan bahawa jumlah wanita Arab Saudi tidak berkahwin semakin kritikal dan dijangka akan meningkat ke angka empat juta orang dalam tempoh lima tahun akan datang berbanding 1.5 juta orang yang terkini.

Menurut sumber berkenaan, angka tersebut terkandung dalam kajian yang telah dijalankan oleh Ketua Jabatan Pelajaran Universiti Islam Madinah, Ali Ibrahim Al-Zahrani, baru-baru ini.

Katanya, jumlah yang diperoleh menerusi kajian itu bukan sahaja jumlah yang dianggap besar, malah turur mencetus kebimbangan di negara tersebut.

Kos majlis perkahwinan yang tinggi dan wang hantaran yang mahal dikatakan antara faktor utama yang menyebabkan ramai lelaki Saudi lebih tertarik untuk memilih berkahwin dengan wanita warga asing.

Selain itu, kajian berkenaan juga menunjukkan bahawa ramai wanita Arab Saudi tidak berkahwin ekoran faktor kemiskinan dan masalah pengangguran yang kian meruncing dalam kalangan penduduk lelaki negara itu.

Meskipun pihak lelaki diberi insentif untuk membuat pinjaman untuk melangsungkan perkahwinan mereka, termasuk mendapatkan bantuan kewangan yang disediakan oleh kerajaan,  namun ramai yang enggan berkahwin kerana bimbang.

Kata mereka, kebimbangan paling utama yang menghantui golonan lelaki di Arab Saudi ialah survival dan tanggungjawab kehidupan mereka untuk menyara anak serta isteri mereka selepas berkahwin kelak. -Kedahnews.com