Di saat berpuluh-puluh ribu mangsa banjir masih bergelut dengan
situasi sukar, masih ada lagi pihak yang terlalu memikirkan kepentingan
diri sehingga sanggup menyekat usaha orang lain dalam menghulurkan
bantuan.
Menerusi satu laporan polis yang disiarkan menerusi Facebook Raja Shamri,
seorang sukarelawan telah mengadu mengenai tindakan individu yang
mengaku dirinya sebagai Yang Berhormat (YB) di Kampung Kajang Sebidang,
Tumpat, Kelantan.
Menurutnya, YB itu mempersoalkan tujuan kedatangan kumpulan
sukarelawan itu sedangkan mereka datang untuk menyampaikan sumbangan
kepada penduduk di kawasan itu.
YB itu kemudiannya memberitahu si pengadu dan rakan-rakannya tidak
mempunyai hak untuk menyalurkan bantuan kecuali melaluinya atau penghulu
kampung itu.
Sikap individu tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan
kumpulan sukarelawan itu sehingga menyebabkan mereka membuat laporan
polis.
Entah mengapa YB berkenaan bersikap sedemikian rupa terhadap mereka yang datang dari jauh untuk menghulurkan bantuan.
Kalau benar pun mahu sukarelawan menyumbang mengikut saluran yang tersedia, sewajarnya YB berkenaan berbincang dengan baik dengan mereka, bukan?
Bukanlah elok jika "orang berbudi, kita berbahasa", Islam pun suka, kan?
Di saat-saat genting sebegini pun masih ada juga yang gemar tunjuk perangai begitu?
Kedahnews.com mendoakan agar kejadian seumpama ini tidak melemahkan semangat para
sukarelawan kita di negeri-negeri yang dilanda musibah kerana apa yang dinilai oleh-Nya ialah keikhlasan dalam
membantu para mangsa, kan? -Kedahnews.com