Status "Haji" Tidak Halang Adi Putra Lakon Adegan Panas

Pelakon Adi Putra tidak pernah membataskan watak yang akan dilakonkannya biarpun sudah menunaikan ibadah haji tahun lalu dan beberapa kali mengerjakan umrah.

Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera, 34, berkata, apa yang dilakukannya itu adalah semata-mata untuk menghidupkan watak selain menganggap ia sebagai suatu ibadah.

"Saya tidak membataskan watak selepas mengerjakan haji dan umrah termasuk watak panas kerana itu adalah tuntutan kerja yang perlu dilaksanakan.

"Bagi saya walaupun melakukan babak panas tetapi ia dilakukan di hadapan beberapa kru. Apa yang saya lakukan itu atas dasar pekerjaan dan pekerjaan itu merupakan satu ibadah," ujarnya kepada mStar Online.
Adi berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pemilihan watak-wataknya terbatas atau bersyarat selepas menunaikan ibadah haji September tahun lalu.

Dia juga sudah beberapa kali menunaikan umrah.

Katanya, babak-babak panas yang dilakonkan itu tidak semestinya bersentuhan sebaliknya lebih banyak menggunakan teknik kamera bagi mendapatkan kesan terbaik.

"Nama sahaja babak panas tetapi ketika melakonkannya ialah di hadapan ramai dan ada yang tidak bersentuhan pun.

"Banyak babak panas terutama di ranjang hanya guna teknik kemera sahaja," ujarnya.

Adi yang mempunyai perniagaan agensi umrah yang diberi nama Menara Hadid Holiday dan Menara Rezki turut mengakui tiada halangan untuknya meneruskan kerjaya sebagai seorang pelakon.

Katanya, buat masa ini, dia hanya mengurangkan sedikit kerjaya lakonan bagi memberi perhatian kepada perkembangan dua agensi pelancongan tersebut.

"Alhamdulillah semua berjalan lancar sejak ditubuhkan awal tahun 2014 lalu, Menara Hadid adalah agensi umrah yang kini beroperasi dengan dua kali penerbangan sebulan.

"Manakala Menara Rezki adalah syarikat operasi dan pengurusan di Saudi yang menguruskan hal berkaitan umrah. Tahun ini memang saya agak perlahan sedikit dalam dunai lakonan kerana fokus pada perniagaan," ujarnya.

Dalam pada itu, Adi berkata, dia bakal keluar dengan filem berjudul Isyarat Cinta bersama Liyana Jasmay dan Fizo Omar pada 19 Mac depan.

Katanya filem bergenre cinta itu merupakan antara filem yang sukar dan memerlukan dia membuat kajian selama setahun sebelum memulakan penggambaran.


"Saya diberi skrip setahun awal kerana ia tentang orang bisu dan pekak. Oleh itu dalam masa setahun itu saya buat kajian tentang Orang Kelainan Upaya (OKU) yang ramai seperti di Brickfield (Kuala Lumpur).

"Bagi saya watak ini sangat susah kerana apa yang ingin saya sampaikan kepada penonton melalui lakonan semata-mata tanpa berdialog," katanya.

Filem Isyarat Cinta terbitan RK Screen bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 19 Mac depan.

Manakala tayangan amal bagi mengutip derma untuk disalurkan kepada mangsa banjir akan dilakukan pada 4 Mac 2015.

Ia dianjurkan bersama Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM).
Sumber: mStar