Akhirnya teka-teki yang melanda minda para peminat industri hiburan tanahair terjawab sudah apabila komposer terkenal, Shaari Amri, memberi bayangan yang lebih kuat tentang antara sebab utama bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani, terjebak dengan najis dadah.
Setelah kecoh dilaporkan tentang penahanan Zamani menerusi media atas dakwaan penyalahgunaan dadah, Shaari merupakan antara mereka yang pertama memberi komen mengenai insiden tersebut.
"Siti Nurhaliza tahu kenapa Zamani jadi macam tu (seorang penagih)," tulis Shaari di laman Twitternya sebelum dipadam kemudiannya atas sebab yang tidak dapat dipastikan.
Meskipun dipadam, wartawan media hiburan tanahair cepat menghidu maksud tersirat di sebalik kenyataan tersebut dan turut bertanya kepada diva tanahair, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, mengenai status Shaari itu.
Walau bagaimanapun, mungkin disebabkan Siti sudah bersuami, beliau dilaporkan enggan memberi sebarang ulasan terhadap status Shaari itu dan hanya memberitahu bahawa ia tiada kena mengena dengan dirinya.
Namun, Shaari yang kenal rapat dengan Zamani telah memberikan kenyataan kepada sebuah portal mengatakan bahawa dia pernah menasihati bekas vokalis Slam itu untuk melupakan Siti, namun kesetiaan Zamani terlalu tinggi harganya.
"Saya kenal
Zamani sejak dari awal dia mula menyanyi. Dia pun banyak menyanyikan
lagu-lagu ciptaan saya dan kami memang rapat malah, saya banyak
menghabiskan masa dengan dia.
"Pernah satu ketika saya bertanyakan kepada dia mengapa dia jadi
begitu, nasihatkan dia melupakan Siti dan jalani hidup dengan lebih baik
tapi Zamani seorang yang sangat setia.
"Jadi apabila berita penangkapannya tersebar, saya berasa kasihan dengannya dan atas sebab itu saya ‘tweet’ sekadar mahu meluahkan rasa simpati dan meluahkan apa yang betul.
"Ramai juga kenalan yang tahu tentang perkara itu tapi ia kisah lama.
Tiada niat saya untuk bangkitkan atau timbulkan apa-apa isu,", katanya dalam satu kenyataan yang dipetik dari portal berkenaan.
Sebetulnya, Zamani dan Siti pernah digosipkan menjalin hubungan "hati" ketika mereka masih sama-sama berstatus "teruna-dara" dan sangat popular di arena industri hiburan tanahair suatu ketika dahulu.
Pada Kedahnews.com, biar apa pun alasan sama ada "putus cinta" atau "kekasih disambar orang", seseorang itu tidak wajar hilang pedoman untuk merelakan dirinya hancur ke lembah najis dadah.
Islam melarang keras umatnya merosakkan diri sendiri atas apa jua sebab sekalipun, apatah lagi penyalahgunaan dadah adalah haram di sisi agama Allah itu selain menjadi satu kesalahan besar dari sudut perundangan negara.
وَأَنفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
Dan
infaqkanlah (hartamu) ke jalan Allah, dan janganlah kamu campakkan
(diri sendiri) ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri, dan berbuat
baiklah. Sesungguhnya, Alah menyukai orang-orang yang berbuat baik (Al-Baqarah, ayat 195)
Apapun, kami mendoakan agar Zamani kembali menguatkan hati dan segera memulihkan diri dari lembah kehancuran itu dan redha dengan ketentuan Allah SWT mengenai jodoh yang ditakdirkan.
Kami percaya, ramai peminat Zamani yang teguh berdiri di belakangnya dan mahu melihat penyanyi bersuara lunak itu kembali bersinar hidupnya.
Sesungguhnya di sebalik takdir Allah itu terdapat hikmah yang mungkin tidak dapat lihat, namun akan disedari kebaikannya pada suatu masa kelak. Wallahu'alam. -Kedahnews.com