KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka
dengan segelintir media negara ini kerana membuat pelbagai laporan yang
dianggap boleh memecahbelahkan rakyat negara ini.
Baginda bertitah, media sepatutnya menjadi saluran untuk menyatupadukan rakyat dan bukan bertindak memecahbelahkan mereka.
“Sekiranya perkara seperti ini berterusan, ianya boleh menjejaskan hubungan rakyat Johor dengan Kerajaan Persekutuan.
“Pihak media sepatutnya menjaga sensitiviti rakyat. Sila jaga tingkah laku anda,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.
Sultan Ibrahim dalam titah baginda bagaimanapun tidak menyebut
tentang bentuk laporan media yang dikatakan boleh menjejaskan hubungan
rakyat Johor dengan Kerajaan Persekutuan.
Titah itu bagaimanapun dipercayai berkaitan dengan kenyataan Presiden
Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim
sebelum ini yang mendakwa Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi mangsa
kebencian media.
Ia juga berikutan pelbagai laporan negatif yang sering dilaporkan
pihak media ke atas bola sepak Johor hingga mencetuskan polimek dalam
kalangan rakyat negeri lain terutama penyokong bola sepak dengan rakyat
Johor.
Titah baginda itu juga dipercayai berkaitan tindakan sebuah akhbar
tabloid hari ini menyiarkan gambar lambang kemegahan bola sepak Johor
dalam keadaan koyak.
Sumber: Mynewshub.cc