Tak Logik Abdul Hadi Sertai PasMa - Suhaizan Kayat


KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menafikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menjadi ahli Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) seperti yang disebarkan melalui media sosial hari ini.

Ketua DPPM, Suhaizan Kayat menjelaskan, gambar Abdul Hadi dalam satu program seperti yang disiarkan melalui media sosial itu pebenarnya program yang dianjurkan oleh PAS Pusat, bukan program Pasma.

Abdul Hadi

“Adalah tak betul Presiden PAS mendaftar ahli Pasma. Lagi pun perkara ini tidak logik. Kehadiran Tok Guru Presiden (Abdul Hadi) di Kuala Kedah adalah program penerangan PAS Pusat bukan program Pasma,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Suhaizan dalam pada itu berkata, isu berkenaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menjadi perdebatan hebat antara parti itu dengan DAP sangat rumit dan perlu ditangani.

Beliau menjelaskan kebimbangan Presiden PAS berkenaan ketidakseimbangan pimpinan dalam kerajaan tempatan jika pilihan raya itu diadakan berasas.

Namun, beliau turut mengakui kebimbangan DAP terhadap kelesuan kerajaan tempatan jika tiada pilihan raya itu juga berasas.

“Perkara ini sangat rumit. Rakyat mahu melihat idea segar sebagai altenatif kepada masalah ini,” katanya.

Abdul Hadi sebelum ini menyanggah rancangan DAP itu kerana didakwa mampu mencetuskan suasana tidak stabil serta melebarkan jurang masyarakat pelbagai kaum.