Terkini Keadaan Kesihatan Nik Aziz

Baru-baru ini kecoh di laman dan aplikasi sosial yang mendakwa bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat kononnya sangat uzur, nazak dan dijangka tidak lama lagi hayatnya di dunia ini.

Malah menghangatkan keadaan, pihak-pihak tertentu itu turut memuat naik gambar Nik Aziz yang terlantar di atas katil dan sedang dipantau oleh anaknya, Nik Muhammad Abduh, bagi memperkuat lagi "cerita" mereka.

Tidak dapat dipastikan sama ada cerita berkenaan disebarkan oleh pihak pro-kerajaan atau tidak memandangkan gambar yang diselitkan bersama itu agak mustahil untuk dirakam oleh cybertroopers pro-BN ekoran ia dirakam seolah dalam bilik Mursyidul Am PAS itu.

Padahal, gambar berkenaan merupakan sekeping gambar lama Mursyidul Am PAS itu dan perkara berkenaan telah disahkan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah.

"Saya tidak pasti itu gambar bila, tapi saya tahu itu gambar lama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mungkin tidak mahu semakin teruk fitnah berleluasa khususnya berkenaan ayahnya, Nik Muhammad Abduh memuat naik status berhubung keadaan Nik Aziz di laman Facebooknya bagi meredakan keadaan dan gundah gulana sebahagian besar pengikutnya.

Menurut Nik Muhammad Abduh, ayahnya hanya berada di dalam keadaan uzur biasa sahaja dan cuma agak keletihan sedikit ekoran aktiviti-aktivitinya melawat kawasan yang terlibat dengan musibah banjir di Kelantan baru-baru ini.

"Ayahanda dalam keadaan uzur biasa. Dalam sebulan akhir ini, ayahanda telah tidak turun solat di masjid kerana keletihan. 

"Di rumah dengan aktiviti biasa, berjalan, membaca dan rehat. Cuma selepas banjir baru-baru ini, kesihatannya menurun sedikit.

Justeru itu katanya, Mursyidul Am itu memohon supaya orang ramai tidak menziarahinya supaya beliau dapat berehat dengan cukup buat sementara waktu.

Berikut adalah kenyataan penuh Nik Muhammad Abduh;


Kedahnews.com turut mengambil kesempatan untuk mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan kembali nikmat kesihatan kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz seperti sedia kala dan dirahmati hidupnya hingga ke akhinya. - Kedahnews.com