Cerita berkaitan tiga pengarang Harakah yang diberhentikan baru-baru ini oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dilaporkan kian hangat diperkata orang ramai, khususnya di kalangan pemerhati politik dan pengamal media.
Khabar angin mengenai isu berkenaan bertiup kencang hingga ke utara mengenai terdapat ura-ura yang mengatakan ketiga orang kuat Harakah itu berkemungkinan akan menyertai akhbar pro-UMNO, Utusan Malaysia.
Menurut sumber yang menjelaskan khabar angin itu, bekas pengarang Harakah tersebut, Tarmizi Md Jam, Pengarang Rencana, Roslan Hamid, dan Ketua Pengarang Ahmad Lutfi Ahmad dikatakan telah bertemu wakil Utusan bagi membincangkan soal tersebut.
Dilaporkan sebelum ini bahawa ketiga individu berkenaan "dibuang" dari akhbar rasmi PAS itu ekoran prestasi Harakah yang teruk merudum, khususnya selepas Pilihanraya Umum (PRU) Ke-13 yang lalu.
Penjualan Harakah pernah mencacat jumlah 380,000 satu keluaran di era
reformasi sekitar 1998 hingga 1999 berbanding kini yang difahamkan jualannya hanya sekadar dibawah
50,000 naskhah setiap keluaran.
Selain itu, desas-desus berkenaan turut memberitahu bahawa Utusan juga difahamkan telah menawarkan jawatan yang bersesuaian kepada ketiga pengarang itu.
Bagaimanapun, laporan ini masih lagi diperingkat "desas-desus" dan belum diterima sebarang kenyataan rasmi mengenai khabar berkenaan.
Apapun, Kedahnews.com lebih gemar untuk mengambil pendekatan "tunggu dan lihat" mengenai isu yang mampu menggemparkan dunia media tanahair itu.
Pada pandangan kami, memandangkang ketiga pengarang itu kehilangan pekerjaan dan punca rezeki, adalah menjadi hak mereka untuk memilih bekerja di mana-mana syarikat yang ditakdirkan Allah bakal menyambung pencarian sesuap nasi bagi diri dan keluarga.
Perlu diingat bahawa mereka juga perlu menyara diri dan keluarga di mana kuasa rezeki itu hanya ditangan Allah SWT, bukan? -Kedahnews.com