"Time Tu Aku Dah Tak Berdaya Lagi Nak Lapkan Airmata.."


KISAH seorang penunggang motosikal yang maut akibat merempuh tiang elektrik berdekatan Kampung Nelayan, Balik Pulau pada petang Sabtu, menimbulkan perasaan sayu dan hiba kebanyakan orang yang mengenalinya.

Ini ekoran mangsa, Mohd Hafiz, 23 tahun sempat memuat naik status bagaikan tahu ajalnya bakal tiba sebelum kemalangan tersebut berlaku.

Status yang meruntun jiwa sesiapa sahaja yang membacanya itu berbunyi:
“Kalau aku kemalangan dan cedera parah, aku teringin sangat untuk lihat bagaimana reaksi orang yang aku sayang, di saat aku penuh berlumuran darah. Nak tahu siapa teringin lihat senyuman dan gelak ketawa aku.

“Entah di hospital atau kubur, jika meninggal dunia, berharap agar orang yang aku sayang datang menziarahi kubur aku dan sedekahkan al-Fatihah buat aku, tapi tolong jangan menangis depan jenazah aku kerana ketika itu aku sudah tidak berdaya untuk lapkan air mata.”
Luahan di atas dikongsikan allahyarham menerusi aplikasi WeChat miliknya pada Khamis lalu.

Memetik laporan Harian Metro, abang mangsa, Jaslly Abu Salem, 33, berkata dia hanya menyedari status berkenaan selepas dimaklumkan oleh rakan adiknya pada malam kejadian.

“Saya hampir menitiskan air mata membaca status itu kerana masih berat untuk menerima pemergiannya,” katanya.

Menyingkap kembali kejadian, mangsa dikatakan cuba mengelak sebuah kereta yang membuat pusingan ‘U’ secara tiba-tiba, mengakibatkan mangsa hilang kawalan seterusnya melanggar tiang elektrik.

Susulan itu, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badannya.
Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Masjid Teluk Kumbar, Pulau Pinang.

Hingga kini, keluarga mangsa akui berharap agar pemandu berkenaan tampil memohon maaf berhubung insiden yang meragut nyawa salah seorang anggota keluarga mereka itu.

Al-Fatihah buat mangsa. 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Sumber: Mynewshub.cc