“Saya terima keputusan berikut tetapi tidak semestinya
saya bersetuju atau hormati keputusan yang diambil oleh Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM).”
Demikian tegas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim
berhubung keputusan FAM berkenaan isu membabitkan pemain baharu Johor
Darul Takzim (JDT), Gary Steven Robbat.
Justeru, baginda menyelar laporan sebuah akhbar tabloid tempatan
kononnya baginda menghormati keputusan FAM mengenakan denda RM100,000 ke
atas Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dan RM50,000 ke atas Gary.
“Inilah mengapa perlunya kami (PBNJ) mempunyai laman sosial dan laman
web rasmi yang diuruskan secara profesional, agar tidak ada media cetak
mahupun elektronik boleh memutarbelitkan sebarang kenyataan saya.
“Saya terima keputusan berikut (status Gary) tetapi tidak semestinya
saya bersetuju atau hormati keputusan diambil FAM berkenaan isu
berkaitan seperti yang telah dilaporkan,” titah baginda dalam satu
kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Johor Southern Tigers pada Ahad.
Tegas Tunku Ismail, baginda berpandangan laporan akhbar itu tidak
bertanggungjawab dan beretika kerana tidak merujuk kepada baginda
terlebih dahulu.
“Ini merupakan amaran saya yang terakhir kepada pihak media di mana
saya akan mengambil tindakan tegas sekiranya ada lagi laporan yang
memutarbelitkan kenyataan saya,” titah baginda.
Tunku Ismail menambah, tanggungjawab media adalah menyebarkan laporan
tepat berdasarkan kajian dan fakta yang menyeluruh bukan sekadar
mencipta cerita berunsur gosip semata-mata untuk mendapatkan rating yang tinggi.
Sumber: Mynewshub.cc