#Transgender: "Jangan Cabar Undang-Undang, Jangan Main Api" - Bekas Mak Nyah

Beberapa wakil daripada NGO yang memperjuangkan hak 'transgender' dilihat hadir bagi mengikuti permohonan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan untuk mengekalkan hukuman pada tiga lelaki berpakaian wanita ke Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman di Putrajaya, semalam.
Tindakan golongan transgender yang menuntut agar hak mereka dengan mencabar sistem perundangan di negara ini diberi amaran oleh seorang bekas mak nyah supaya tidak bermain api dengan mencetus kontroversi yang bakal memalukan diri mereka sendiri.

Penceramah motivasi yang merupakan seorang guru, Mohd Khariri Mohamad Ramli, yang dahulunya merupakan seorang mak nyah menegaskan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam dan masyarakat di negara ini sama sekali tidak akan dapat menerima perjuangan karut golongan "songsang" tersebut.

Justeru itu, Mohd Khariri yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Erin menyarankan kepada golongan transgender itu supaya menerima hukuman yang dijatuhkan dengan membayar denda sebagaimana yang ditetapkan mahkamah.

 "Hentikanlah perjuangan yang sia-sia ini, bagi saya tiada gunanya jika mereka mengheret kes ini ke mahkamah, kerana ia tidak mampu menjernihkan keadaan sebaliknya ibarat mimpi ngeri kepada semua golongan mak nyah di Malaysia.

"Malaysia sebuah negara Islam, masyarakat memang akan menentang golongan transgender dan ini hanya akan menjejaskan reputasi dan nama baik negara ini,"

"Sepatutnya ketika hukuman dijatuhkan, mereka perlu membayar denda. Tetapi mereka sengaja 'bermain api' dan ingin mencabar keputusan mahkamah," katanya yang dipetik dari sebuah portal, mStar, hari ini.

Mohd Khariri Mohamad Ramli atau Cikgu Erin menasihati golongan transgender agar kembali ke pangkal jalan
Mohd Khariri turut menggesa supaya golongan transgender yang menuntut agar hak mereka dilindungi seharusnya bertaubat dan berhenti memperjuangkan perkara yang  sia-sia kerana ia tidak akan membantu mereka untuk keluar daripada dunia fantasi itu.

Katanya, perjuangan golongan yang menuntut agar hak mereka untuk berpakaian seperti wanita di tempat awam dibenarkan mengikut undang-undang adalah sia-sia dan sangat bersalahan dengan ajaran agama Islam yang dianuti golongan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan kerajaan Negeri Sembilan terhadap kebenaran kumpulan transgender lelaki Islam mengenakan pakaian perempuan di tempat awam.

Selain itu, Mohd Khariri turut mendakwa dia mengenali beberapa individu yang mencabar keputusan mahkamah tersebut dan yakin ada di antara mereka enggan membayar denda hanya kerana dendam lama dan rasa amarah akibat ditahan oleh pihak berkuasa sebelum ini.

"Bagi saya kes ini telah dimanipulasikan oleh mereka yang pernah ditahan akibat dendam lama. Tiada gunanya jika mereka masih lagi berkeras sebab ia tidak ke mana, lebih baik mereka bayar sahaja kompaun supaya kes ini tidak berlarutan," katanya.

Sementara itu, Imam Muda Asyraf yang dipetik dari portal yang sama menjelaskan bahawa gologan transgender berkenaan sepatutnya menghormati keputusan mahkamah dan hak pemerintah yang ingin melindungi hak masyarakat awam secara keseluruhannya.

"Mereka (golongan transgender) seharusnya mempunyai toleransi dan menghormati hak pemerintah (kerajaan), ini kerana kerajaan juga mempunyai hak untuk melindungi masyarakat awam daripada terpengaruh dengan budaya tidak sihat apabila golongan lelaki berpakaian seperti wanita di tempat awam.

"Masyarakat terutamanya golongan remaja dan kanak-kanak akan keliru. Menuntut hak asasi tidak boleh dijadikan alasan, kerana dalam Islam juga jelas mengenai etika berpakaian lelaki dan wanita," ujarnya.

Imam Muda Asyraf
Imam Muda itu turut menegaskan bahawa golongan transgender tersebut tidak wajar menjadikan alasan "naluri kewanitaan mereka terperangkap dalam tubuh badan lelaki" kerana hukum Islam mengenai lelaki dan wanita sangat jelas.

"Hukum Islam mengenai lelaki dan wanita sangat jelas, dalam seperti dalam solat dan soal pembahagian harta. Sebab itu Islam melarang lelaki berpakaian seperti wanita, jika dia khunsa (dua alat kelamin) sekalipun seseorang itu perlu melihat kecondongannya ke arah mana.

"Saya berharap golongan ini kembali pangkal jalan dan mempunyai sifat toleransi... tidak menuntut hak yang sememangnya tidak boleh diberikan kepada mereka," katanya.

Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk membenarkan permohonan rayuan kerajaan Negeri Sembilan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kebenaran transgender lelaki Islam mengenakan pakaian perempuan, semalam.

Panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Tan Sri Md Raus Sharif ketika membuat keputusan itu membenarkan pihak perayu mengemukakan hanya satu persoalan undang-undang dalam rayuan kes berkenaan.

Persoalan yang perlu dihujah itu adalah sama ada Seksyen 66 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 bertentangan dengan  Artikel 5, 8, 9, dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

Seksyen 66 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 memperuntukkan kesalahan seorang lelaki Islam berpakaian atau berlagak seperti wanita di tempat awam mengikut undang-undang Islam.

Peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang bertindak sebagai ketua peguam mewakili Kerajaan Negeri Sembilan ketika ditemui di luar mahkmah berkata, pihaknya diberi tempoh selama sebulan bagi tujuan pengurusan kes sebelum rayuan difailkan di Mahkamah Persekutuan.

Pada 7 November tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan dibuat oleh tiga juru mekap pengantin beragama Islam, Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26; Syukor Jani, 28; dan Wan Fairol Wan Ismail, 30 dan mengisytiharkan seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri (Negeri Sembilan) 1992 sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Mahkamah Rayuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman tiga orang itu supaya seksyen 66 berkenaan diisytiharkan sebagai tidak berperlembagaan. -Kedahnews.com