Tuanku Abdul Halim Perkenan Hadir 6 Acara Hari Keputeraan #DirgahayuTuaku


ALOR SETAR - Lebih 10 majlis telah diatur bersempena perayaan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-87 Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Ahad ini.

Sultan Kedah, yang juga Yang di-Pertuan Agong dijadual berangkat menghadiri enam majlis utama.

Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan negeri Kedah, Bahagian Pengurusan Korporat, Mohd Rizal Mohd Radzi berkata, enam majlis itu ialah Majlis Jamuan Negeri di Dewan Santapan Anak Bukit pada 19 Januari, Majlis Perasmian Masjid Kampung Sawa, Pendang (2 April), Jamuan Majlis Jaksa Pendamai (31 Januari), Majlis Jamuan Jemaah Dato-Dato (4 April) serta pertandingan Golf Keputeraan di Langkawi pada 7 Februari.

"Majlis-majlis ini dijadual berlangsung bermula Sabtu ini hingga April," katanya dalam taklimat media sempena sambutan Hari Keputeraan itu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Istiadat Pengurniaan Bintang dan Pingat-pingat Kebesaran akan berlangsung selama 10 hari, bermula Ahad ini hingga 23 Februari.

Antara acara terawal yang dijadual berlangsung ialah pada Sabtu ini Majlis Mempersembahkan Kek kepada Tuanku di ruang legar, Balai Penghadapan Istana Anak Bukit di sini.

Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah dan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir turut dijadual menghadiri majlis itu. - Bernama