Gambar Hiasan |
Kerjasama orang ramai ditagih bagi membanteras penjualan beberapa produk lingkaran nyamuk tidak berdaftar yang sedang berleluasa berlaku di sekitar kawasan utara Semenanjung Malaysia, khususnya di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
Jabatan Pertanian mengesan berlaku penjualan tiga produk lingkaran
nyamuk tidak berdaftar secara berleluasa di kedai runcit di utara
semenanjung Malaysia terutama di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang waktu
ini.
Jabatan Pertanian dalam satu kenyataan memberitahu, tiga produk dari
China terbabit adalah Tian Hing Mosquitoes Coil dan Lengen Mocro-Smoke
12 Hours (HY Touba) yang didapati dijual secara terbuka.
“Dalam pemeriksaan yang dijalankan sepanjang September hingga
Disember 2014, penguatkuasa Jabatan Pertanian telah merampas sebanyak
11,547 kotak lingkaran nyamuk yang tidak berdaftar bernilai RM23,094.
“Penjualan lingkaran nyamuk tidak berdaftar salah dibawah seksyen
20(3) Akta Racun Makhluk Perosak 1974, manakala mereka yang memiliki
atau menggunakan lingkaran nyamuk tidak berdaftar melakukan kesalahan
dibawah seksyen 53A(1)(a) di bawah akta yang sama,” kata keyataan itu
hari ini.
Menurut kenyataan itu, terdapat banyak produk lingkaran nyamuk yang
berdaftar di pasaran bagi tujuan menghalau atau membunuh nyamuk yang
telah dinilai tahap keberkesanan dan selamat untuk digunakan dengan cara
penggunaan yang ditetapkan di dalam label.
Manakala, bagi lingkaran nyamuk yang tidak berdaftar, keberkesanan
dan kesesuaian penggunaan serta kesan sampingan ke atas penggunaannya
adalah tidak diketahui kerana ia tidak dinilai dan diluluskan.
“Jabatan Pertanian mengharapkan kerjasama orang ramai membanteras
penjualan lingkaran nyamuk tidak berdaftar ini. Sekiranya mempunyai
sebarang maklumat sila laporkan kepada Jabatan Pertanian untuk tindakan
lanjut” kata kenyataan itu. -Kedahnews.com