Ukir Mall Makin Jadi Tumpuan Rakyat Kedah, Peniaga Lega

ALOR SETAR - Kerja meroboh kompleks perniagaan Pekan Rabu di sini telah bermula dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang Mac, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Kedah berkata, kerja pembinaan semula akan bermula pada April dan dijangka mengambil masa dua tahun untuk siap sepenuhnya.

"Pada April kita akan memulakan kerja-kerja menanam cerucuk," katanya kepada pemberita selepas melawat penempatan sementara peniaga kompleks itu di Ukir  Mall yang terletak bersebelahan.

Katanya seramai 370 peniaga telah dipindahkan ke Ukir Mall pada 1 Disember lepas bagi memberi laluan kepada pembinaan kompleks baru setinggi empat tingkat  dan bernilai RM55.57 juta.

"Keputusan kerajaan negeri menempatkan peniaga Pekan Rabu di Ukir Mall secara sementara merupakan keputusan yang tepat kerana pelbagai kemudahan telah disediakan demi kemudahan dan keselesaan peniaga dan pengunjung," katanya.

Ahmad Bashah berkata, sebelum ini terdapat peniaga yang tidak mahu berpindah ke Ukir Mall kerana bimbang peniagaan mereka akan terjejas, tetapi jangkaan mereka meleset.

"Kita akan bersama-sama mainkan peranan untuk menjadikan penempatan sementara Pekan Rabu di Ukir Mall menjadi tumpuan ramai dan pelbagai usaha diambil  untuk menambah baik dan memenuhi keperluan peniaga," katanya.

Beliau berkata, pihak Koperasi Pekan Rabu memaklumkan bilangan pengunjung dan peniaga di Ukir Mall semakin meningkat. - Bernama