Visa Percuma: Mohd Rawi Jangka Langkawi Bakal "Banjir" Pelancong


ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah mungkin akan mengkaji semula sasaran kedatangan pelancong China ke Langkawi tahun ini berikutan pemberian visa percuma kepada pelancong dari negara itu sebagaimana diumumkan oleh kerajaan persekutuan hari ini.

Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Pengurusan Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan Kedah Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid pemberian visa percuma itu bakal meningkatkan kedatangan pelancong China ke pulau itu. 

"Kita berkemungkinan akan mengubah sasaran bilangan pelancong ke China tahun ini. Persaingan menarik pelancong China ketika ini amat sengit, dan langkah ini akan meningkatkan daya saing kita," katanya kepada Bernama hari ini. 

Langkah pemberian visa percuma kepada pelancong China, katanya, telah pun dipraktikkan oleh negara-negara serantau termasuk Thailand, yang terbukti berkesan dalam meningkatkan kedatangan pelancong negara itu. 

Menurut Mohd Rawi, kerajaan negeri Kedah telah mengemukakan cadangan tentang pemberian visa percuma kepada pelancong China kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz tidak lama dahulu. 

"Kita amat berterima kasih kerana cadangan kami diterima," katanya sambil menambah, tahun lepas di antara 80,000 hingga 100,000 pelancong China berkunjung ke pulau peranginan Langkawi, kata Mohd Rawi.

Langkah memberi visa percuma itu, katanya, akan memudahkan rakyat China melawat negara ini tanpa melalui kesukaran dan perjalanan yang jauh untuk mendapatkan visa di pejabat kedutaan atau konsulat Malaysia di negara itu. - Bernama