Wanita Terima Padah Tawar Seks Pada Sarjan Polis


Mungkin terlalu terpengaruh dengan persepsi buruk segelintir pihak terhadap warga PDRM, seorang wanita terpaksa merengkok dalam penjara selama 6 bulan setelah didapati bersalah menawarkan "rasuah" seks kepada seorang anggota polis berpangkat sarjan.

Wanita berkenaan yang berumur 28 tahun yang juga berstatus isteri dan ibu kepada dua orang anak didakwa menawarkan khidmat zina itu kepada sarjan berkenaan di Jalan Changkat Bukit Bintang,  pada 10.45 malam, 19 November lalu.

Ketika dijatuhkan hukuman oleh Majistret Erry Shariman Nor Aripin di Mahkamah Majistret di ibu negara itu, ibu kepada anak berusia empat dan satu tahun berkenaan dikatakan meraung kuat.

Wanita yang dikenali dengan nama Jennifer Nankumba yang berasal dari Uganda itu bagaimanapun merayu agar diringankan hukuman dengan alasan terpaksa menanggung dua anaknya selain suaminya yang tidak bekerja.

Selain itu, Jennifer mendakwa dia hanya bekerja sebagai ejen perkapalan dengan gaji yang dikatakan tidak menentu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal kerana tindakan tertuduh cenderung kepada keruntuhan akhlak dan mahkamah juga perlu mengambil kira kepentingan awam sebagai pengajaran. -Kedahnews.com