Yahudi Israel Kerah Warga Thai Jadi Buruh Paksa!


Misteri bagaimana produk tani bermutu tinggi keluaran Israel mampu dijual pada harga amat murah akhirnya terbongkar selepas badan pemantau hak asasi antarabangsa mendedahkan kewujudan buruh paksa Thailand di negara itu.

Menerusi laporan bertajuk ‘Bahan Mentah: Penindasan Pekerja Thai Dalam Sektor Pertanian Israel’, Human Rights Watch (HRW) berpusat di New York itu membongkar layanan buruk diterima buruh terbabit yang dirahsiakan sejak sekian lama.

“Kejayaan cemerlang industri pertanian Israel di pasaran global bergantung kepada kebanjiran imigran Thai, namun rejim Yahudi itu memberi hak amat kecil dalam melindungi nasib mereka daripada eksploitasi,” kata laporan itu yang diterbitkan pada semalam.

Dianggarkan kira-kira 25,000 warga Thailand dikerah di puluhan ladang buah-buahan dan sayur-sayuran milik rakyat Israel, bekerja dalam keadaan teruk tanpa kemudahan rumah kongsi yang selesa sekaligus melanggar undang-undang buruh tempatan.

“Pekerja ini dibayar gaji amat rendah daripada upah minimum standard, malah dipaksa kerja lebih masa dari had waktu ditetapkan undang-undang Israel dan dalam suasana tempat kerja berbahaya,” tambah laporan organisasi bebas tersebut.


HRW seterusnya meminta pihak berkuasa Israel agar lebih aktif dalam menguatkuasakan peraturan jumlah maksimum jam bekerja dan standard minimum tempat bekerja yang amat berisiko ditimpa kemalangan jiwa serta menjejaskan kesihatan buruh.

Kementerian ekonomi Israel yang bertanggungjawab dalam bidang perindustrian dan perdagangan setakat ini belum mengeluarkan sebarang komen rasmi berhubung laporan badan pemantau hak asasi dari Amerika Syarikat itu.

Namun, The Workers Hotline, sebuah organisasi bukan kerajaan Israel dalam maklum balas mereka bersetuju dengan hasil kajian setebal 48 muka surat diterbitkan HRW itu dan membidas sikap hipokrit rejim Zionis memperjuangkan hak asasi manusia.

“Sektor pertanian Israel memang diketahui banyak melakukan penganiayaan dan penafian hak asasi pekerja asing semata-mata demi mengaut keuntungan besar tanpa mempedulikan aspek kebajikan buruh terbabit,” kata jurucakap badan itu.

Israel yang memiliki sejumlah 17,000 pekebun aktif dengan keluasan lebih 200,000 hektar tanah pertanian merupakan pengeluar produk berasaskan citrus, hasil lembu tenusu dan bunga-bungaan komersial terbesar di pasaran dunia. – Agensi