Yang DiPertua PAS Kuala Kedah "Halau" Presiden PAS Keluar Parti?

Hilang rasa hormat atau tidak pada Presiden PAS, Ahli Dewan Undangan Pengkalan Kundor, Datuk Phahrolrazi Zawawi mengeluarkan kenyataan keras membidas amaran Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada PasMa untuk tidak merosakkan PAS dari dalam.

Lebih mengejutkan lagi, seolah kenyataan "menghalau", Phahrolrazi menegaskan bahawa pihak yang tidak setuju dengan Pakatan Rakyatlah yang patut keluar dari PAS dan bukannya PasMa.

Presiden PasMa itu berkata, muktamar PAS sebelum ini telah memutuskan untuk terus bersama Pakatan Rakyat dan sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan keputusan PAS itu sepatutnya meninggalkan parti.

"Itu keputusan PAS dan muktamar.

"Jadi siapa yang tak bersetuju dengan prinsip (bersama Pakatan Rakyat), tak bersetuju dengan (keputusan) PAS maka dia kena keluar PAS," katanya yang dipetik dari sebuah portal yang dikaitkan dengan Pakatan Rakyat.

Selain itu, menjawab kenyataan Abdul Hadi yang dikeluarkan di Facebook terhadap PasMa itu, Phahrolrazi menegaskan bahawa pendiriannya untuk tidak bersetuju dengan pemimpin tidak membawa maksud dia tidak bersetuju dengan PAS.

"Tapi kalau tidak bersetuju dengan pendapat pemimpin dan sebagainya, itu cuma pendapat sahaja tidak payahlah keluar PAS," katanya, cuba menjustifikasikan diri atas kritikan-kritikan yang dilempar kepada Presiden PAS sebelum ini.

Abdul Hadi semalam dalam satu kenyataannya di laman Facebook rasminya memberi amaran keras supaya PasMa tidak terus merosakkan parti itu dari dalam dan tindakan NGO yang diketuai Phahrolrazi itu diibarat bagai "menebuk kapal sendiri".

Lebih keras lagi, Naib Presiden Persatuan Ulama Sedunia itu turut mengesa pihak yang tidak sehaluan dengan PAS supaya segera meninggalkan parti itu.

Seterusnya, Phahrolrazi menegaskan kepada kenyataan Abdul Hadi itu bahawa PasMa merupakan sebuah NGO yang tidak menyertai PAS dan tidak ada kena mengena dengan parti politik itu.

"PasMa ini NGO yang berdiri dibawah entiti berdiri sendiri, jadi tak timbul keluar masuk PAS sebab dia (PasMa) tidak pernah masuk PAS pun.

"Jadi dia (Hadi) nak tuju pada PasMa tidak relevan.

"PasMa tidak ada kena mengena dengan PAS, Hadi tuju pada ahli PAS," kata Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Kedah itu membidas Presidennya sendiri secara terbuka di khalayak ramai. -Kedahnews.com