Awatif Sardi, 5, berdiri di depan rumah keluarganya yang musnah akibat banjir di Kampung Sat in Tanah Merah, Kelantan. |
Kerosakan dan kemusnahan akibat banjir besar yang
melanda sebahagian Kelantan baru-baru ini adalah jelas. Hampir-hampir
tiada kata yang dapat menggambarkan kesan yang dibawa aliran air yang
naik begitu cepat.
Sudah banyak versi diceritakan mengenai suasana banjir itu. Namun apa
yang pasti, keteguhan iman kebanyakan mangsa begitu mengagumkan.
Sekurang-kurangnya itu yang dirasai pegawai eksekutif Yayasan Aman di Sungai Petani, Kedah, Mohamad Azan Rejab.
Dalam misi bantuan yang disertainya, banyak kenangan unik dan menginsafkan dilalui Mohamad Azan.
Mohamad Azan (tiga dari kanan) bersama sukarelawan Yayasan Aman Kedah gigih mengagihkan bantuan untuk mangsa banjir. |
“Antara yang sukar dilupakan ialah bagaimana mangsa banjir tidak
berebut-rebut atau mementingkan diri sendiri ketika bantuan tiba,”
katanya.
Menurutnya, di sebuah masjid, kira-kira pukul 9 pagi, petugas Yayasan
Aman sedang mengagih-agihkan barang yang dibawa tetapi ada sebahagian
lagi seolah-olah tidak menghiraukan sangat aktiviti itu.
Sebaliknya, kata dia, mereka khusyuk mengerjakan solat sunat atau membaca al-Quran.
“Bacaan itu kami dengar dengan jelas sebab menggunakan pembesar
suara. Ramai juga, lelaki, wanita, dewasa dan kanak-kanak,” katanya.
Apa yang menarik, kata Mohamad Azan, wajah mereka tidak menampakkan
rasa keluh-kesah, sebaliknya mangsa sentiasa tenang dan masih mampu
tersenyum.
Nursyafiqah Ayuni (tengah), 10, menyuap nasi kepada adiknya Nursyarah Ariana (kanan), 2, di pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan Sri Kelewek, Tanah Merah, Kelantan. Di sebelah mereka, Mohd Shahril Aidil, 7. |
Situasi lain yang menyentuh perasaan kata Mohamad Azan adalah
insiden ketika sukarelawan Yayasan Aman bersiap-siap mengisi perut
dengan nasi bungkus sambil mengurangkan kepenatan selepas membantu
membersihkan rumah penduduk setempat.
Sejurus kemudian, katanya, sekumpulan kanak-kanak mengelilingi mereka sambil memandang dengan penuh harapan.
Melihat keadaan itu, sukarelawan terbabit tidak jadi meneruskan makan
kerana tidak sampai hati, sebaliknya menyerahkan bungkusan nasi
masing-masing kepada kanak-kanak yang ramai itu.
“Kami nak kunyah pun tak sanggup, apa lagi nak telan,” katanya.
Selepas mendapat bungkusan itu, seorang daripada kanak-kanak yang
usianya tujuh atau lapan tahun itu berpesan kepada adiknya: “Jangan
habiskan semua. Simpan sikit untuk mak."
“Kata-kata itu menyebabkan kami menitiskan air mata terharu,” katanya.
Dalam misi bantuan itu, Yayasan Aman bekerjasama dengan Persatuan
Anak-anak Kelantan Di Perantauan (Perakan) untuk mengumpul dan
mengagih-agihkan bantuan di tempat yang dikenal pasti.
Misi berkenaan disertai 32 kenderaan pacuan empat roda, empat lori dan beberapa buah kereta persendirian.
Ia diketuai Pengarah Yayasan Aman, Saiful Izham Ramli dan melalui laluan Grik. Tempat pertama yang dituju ialah Tanah Merah.
Mohamad Azan berkata, sesekali ada juga kejadian yang melucukan.
“Mereka bukan saja tetap tersenyum, malah meminta kami sukarelawan pula bersabar banyak-banyak,” katanya.
Kalangan wanita pula, kata Mohamad Azan, sangat teliti menjaga aurat
masing-masing walaupun keadaan selepas bencana itu dapat difahami
kesukarannya.
Sementara itu, Saiful Izham berkata, dia kagum dengan semangat
kemanusiaan sukarelawan dan wakil pertubuhan bukan kerajaan yang
sama-sama membantu tanpa mempedulikan perbezaan agama dan bangsa serta
tidak mengharapkan sebarang balasan.
“Kini masa untuk semua pihak mengetepikan sementara perbedaan fahaman
politik bagi membantu memulihkan dan membina semula Kelantan.
“Saya yakin penduduk Kelantan akan bangkit kembali daripada dugaan sehebat ini,” katanya.
Sumber: mStar
Sumber: mStar