Zamani Slam Kantoi Dadah Di Ampang Semalam?

Dunia industri hiburan tanahair bergegar lagi hari ini apabila dilaporkan mengenai bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani, telah ditahan polis tengah malam tadi kerana disyaki memiliki dadah jenis heroin seberat 1.2 gram.

Penyanyi yang berusia 43 tahun itu difahamkan telah ditahan bersama seorang wanita berusia 32 tahun di Taman Keramat, Ampang kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi setelah pihak polis bertindak hasil maklumat dadah yang diperoleh.

Hasil pemeriksaan di bilik penyanyi kumpulan yang popular di era 90'an itu kemudiannya menemukan polis dengan satu paket plastik disyaki dadah jenis heroin seberat 1.2 gram yang terletak di atas tilam di bilik tersebut.

Melalui hasil ujian air kencing, vokalis bersuara merdu itu juga didapati positif dadah jenis morfin.

Zamani juga dikatakan telah mengaku terbabit dalam aktiviti penagihan dadah jenis syabu dan heroin selama 10 tahun yang diperoleh daripada seorang pengedar di sekitar Hulu Kelang.

Menurut sumber pihak berkuasa, bekas penyanyi kumpulan Slam yang nama sebenarnya Zamani bin Ibrahim itu  akan disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairuddin Saad turut mengesahkan tangkapan penyanyi terbabit dan akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk mendapatkan perintah reman berhubung kes. -Kedahnews.com