Zamani Slam Temui Jamal Abdillah Selepas Kes Selesai...


Bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani, memberitahu bahawa dia akan menemui Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah, setelah kesnya selesai sepenuhnya bagi tujuan mendapat rawatan pemulihan penyalahgunaan dadah.

Zamani yang tidak menyangka dengan pelawaan tersebut meluahkan rasa terharu dan penghargaannya terhadap kesudian Jamal Abdillah untuk membantunya meninggalkan tabiat buruk tersebut.

"Saya sangat hargai bantuan Datuk dan tidak sangka dia mahu tolong… nantilah selepas selesai kes saya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jamal Abdillah sebelum itu berbesar hati untuk membantu Zamani untuk pulih dari penyalahgunaan dadah dengan menawarkan khidmat pusat pemulihan tertutup yang dirahsiakan bagi menjamin privasi penyanyi bersuara lunak itu.


Raja Pop yang turut pernah terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan telah pulih sepenuhnya itu juga memberitahu bahawa pusat-pusat pemulihan biasa mungkin akan membuat Zamani rasa kurang selesa ekoran statusnya sebagai seorang selebriti yang mampu menarik perhatian ramai.

Dalam perkembangan berkaitan, tempoh jaminan polis terhadap Zamani yang ditahan berhubung kes dadah lapan hari lepas disambung hingga Jumaat ini.

Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim, 43, telah ditahan positif dadah kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada Rabu minggu lalu. -Kedahnews.com