Zamani Tidak Ditahan Semula, Jaminan Dilanjut Hingga Jumaat


KUALA LUMPUR – Tempoh jaminan polis terhadap bekas vokalis Kumpulan Slam, Zamani yang ditahan berhubung kes dadah tujuh hari lepas disambung sehingga Jumaat ini.

Peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili Zamani memberitahu pemberita bahawa kertas siasatan telahpun dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk pertimbangan sama ada meneruskan kes ataupun sebaliknya.

Ahmad Zaharil yang ditemui di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya turut memberitahu bahawa jaminan polis tersebut membolehkan Zamani berehat dan menjalani kehidupan normal sebelum proses mahkamah bermula.

Zamani yang popular dengan lagu Gerimis Mengundang pula berkata dia semakin sihat dan berterima kasih kepada peminat yang memberikan sokongan agar dirinya tabah menghadapi dugaan.

“Saya okey, terima kasih kepada peminat yang masih menyokong saya,” katanya.

Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim, 43, telah ditahan bersama seorang wanita berusia 33 tahun yang turut positif dadah kira-kira pukul 12.30 tengah malam, Rabu lepas. – BERNAMA