108 Mangsa Tsunami Tuntut Janji 10 Tahun Lalu

Ismail dan isteri, Maznah Ismail meneliti dokumen berhubung senarai mangsa terlibat tsunami yang merayu agar hak mereka ditunaikan.
SUNGAI PETANI – Seramai 108 mangsa tsunami Kuala Muda, Kedah kempunan untuk berpindah ke rumah baharu sepertimana yang dijanjikan 10 tahun lalu.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tepi Sungai, Ismail Othman berkata, kebanyakan mangsa masih menetap di lokasi asal rumah mereka yang rosak dan sebahagian lagi sudah pun dipindahkan melalui fasa pertama.

Beliau yang berpengalaman menjadi pengerusi JKKK selama 10 tahun dan setiausaha JKKK selama 12 tahun berkata, bagi fasa pertama iaitu bagi kategori rumah musnah teruk, 123 umah siap dibina di Taman Permatang Katong, Kota Kuala Muda, dua tahun selepas tsunami.

“Bagaimanapun, terdapat 108 mangsa (berdasarkan bancian terdahulu) yang masih menanti untuk dipindahkan kerana dijanjikan untuk terlibat dalam projek fasa kedua pembinaan,” dakwanya kepada Sinar Harian.

Ismail mendakwa, kerajaan ketika itu telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM800 juta untuk penempatan semula mangsa tsunami melibatkan 150 hektar tanah telah digazet untuk tujuan pembinaan rumah.

“Bayaran pampasan kepada pemilik tanah juga telah diberikan ketika itu bertujuan agar projek fasa kedua berjalan lancar,” dakwanya.

Katanya, fasa kedua melibatkan mangsa dari Kampung Tepi Sungai, Kepala Jalan, Padang Salim, Hujung Matang, Puyu dan Sungai Yu.

Namun, projek fasa kedua itu hanya tinggal harapan kerana belum dibina sehingga kini, mangsa pula telah membaiki semula rumah mereka dan ada yang membina rumah baru di tapak lama berikutan masih tidak berpindah.

“Namun, apa yang lebih terkilan, projek penempatan semula kerajaan dibangunkan di Pulau Pinang iaitu di Kuala Muda, Kepala Batas, Seberang Prai di mana sebanyak 425 rumah dibangunkan di Taman Desa Kuala Muda Kepala Batas tiga tahun selepas tsunami,” dakwanya.

Ismail mendakwa, akan tetapi, hanya 11 rumah yang terjejas di Seberang Prai sedangkan kawasan berisiko tinggi ialah di pesisiran pantai Kuala Muda, Kedah sehingga berlaku kematian akibat tsunami 26 Disember 2004.

Menurutnya, masing-masing saling bertanyakan bila dan di mana akan dipindahkan seolah-olah telah dilupakan hak mereka yang dijanjikan kerajaan 10 tahun lalu.

“Penduduk masing-masing kempunan mahukan rumah yang dijanjikan, namun sehingga kini tiada perkembangan positif,” katanya.

Katanya, beliau telah berusaha pelbagai cara dengan menghantar surat ke kerajaan negeri dan persekutuan bagi menyuarakan kehendak mangsa yang bimbang sekiranya dilanda ombak tsunami buat kali kedua.

“Kami sedih apabila janji yang dilafazkan tidak ditunaikan malah ada sebilangan kecil mangsa tsunami tidak merasai untuk berpindah sehingga ada yang telah meninggal dunia, uzur, sakit dan berpindah lokasi,” katanya.

Menurut beliau, pendedahan dibuat bertujuan meraih simpati agar nasib mangsa tsunami di Kota Kuala Muda terbela atau menerima perhatian pihak tertentu. -Sinar Harian