12,000 Rumah Mampu Milik Di Kedah Tahun Lepas

KUALA NERANG - Sebanyak 12,000 unit rumah mampu milik dibina di Kedah, tahun lepas, bagi memenuhi permintaan rakyat berpendapatan rendah, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan, Datuk Badrul Hisham Hashim.

Beliau berkata jumlah itu meningkat sebanyak 7,199 buah rumah berbanding 4,801 buah rumah yang dibina pada tahun 2013.

Adun Kuala Nerang itu berkata, selepas mengambil alih kerajaan negeri daripada pakatan pembangkang pada 2013, kerajaan negeri gagal untuk mencapai sasaran untuk membina 6,000 unit disebabkan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.

"Tahun ini kita letakkan sasaran lebih 6,000 unit rumah mampu milik akan dibina kerana permintaan daripada rakyat semakin meningkat setiap tahun," katanya dalam sidang media pada Majlis Jamuan Rakyat 2015 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-87 Sultan Kedah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap di sini hari ini.

Sementara itu, Badrul Hisham berkata kerajaan kini sedang dalam proses membina 960 unit rumah mampu milik yang dikhaskan untuk kakitangan awam di Bukit Pinang berdekatan Alor Setar.

Katanya, harga yang ditawarkan bagi rumah berkenaan akan bermula pada harga RM140,000 hingga RM160,00, iaitu 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa.

"Rumah ini adalah dikhususkan kepada 57 peratus kakitangan awam yang berpendapatan antara RM1,400 hingga RM4,000 sebulan," katanya. - Bernama