2 Polis Ditahan Paksa Seks Oral, Rogol Siswi Dalam Tandas

DUA pegawai polis ditahan Ahad lalu kerana merogol dan memeras ugut penuntut universiti berusia 19 tahun, lapor The Star.

Menerusi laporan polis yang dibuat pada Sabtu, mangsa mendakwa kedua polis terbabit mengambil kesempatan terhadap dirinya selepas menangkap dia dan teman lelakinya sedang melakukan hubungan seks dalam kereta di Kota Damansara pada 26 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, mangsa kemudiannya diarahkan mengikut salah seorang suspek ke dalam kereta polis sementara seorang lagi anggota masuk ke dalam kereta teman lelakinya.

“Menurut mangsa anggota terbabit menyuruhnya menyerahkan wang RM2,000 jika tidak mahu ditahan.

“Mangsa bersetuju dengan tawaran itu lalu dia dan teman lelaki dilepaskan selepas nombor telefonnya diambil,” katanya.

Keesokan harinya mangsa mendakwa dihubungi salah seorang polis terbabit untuk menuntut bayaran dijanjikan.

Polis itu kemudiannya menjemput mangsa dari asrama lalu membawanya ke pusat beli belah berhampiran.

“Di sana mangsa dipaksa melakukan seks oral dalam kereta sebelum dibawa masuk ke dalam tandas dan dirogol,” ujar ACP Azmi.

Berdasarkan laporan dibuat mangsa, perbuatan pegawai polis terbabit tidak terhenti di situ apabila dia tetap diganggu menerusi panggilan telefon beberapa minggu selepas itu bagi menuntut habuan seks daripadanya.

Sebaik menerima laporan mangsa, dua pegawai polis terbabit ditahan pada Ahad.