36 Kaki Judi, Pencuri Motor Diberkas Di Kuala Muda

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Khalil Ariffin (kanan) menunjukkan sebahagian daripada barangan yang dirampas dalam Ops Lejang pada 21 Feb lalu di Tikam Batu, susulan tertangkapnya lima lelaki serta seorang wanita yang disyaki giat dalam aktiviti mencuri motosikal, samun, pecah rumah dan penyalahgunaan dadah, pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda, di Sungai Petani, hari ini. - Foto BERNAMA
SUNGAI PETANI – Sejumlah 36 kaki judi ditahan dalam tiga serbuan berasingan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, sepanjang tempoh sambutan Tahun Baharu Cina, minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Khalil Ariffin berkata dalam serbuan pertama pada 19 Feb lepas di Tikam Batu, polis menahan enam lelaki serta merampas peralatan judi belangkas serta wang tunai RM541.

“Dalam serbuan kedua di Kampung Bharu, Gurun, lima lelaki ditahan dan polis merampas peralatan judi belangkas dan wang tunai RM127, manakala dalam serbuan ketiga di Jalan Pekan Lama, Sungai Petani, 25 kaki judi iaitu 17 lelaki dan lapan wanita, ditahan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan ketiga itu pihaknya turut merampas peralatan judi daun pakau dan belangkas, serta wang tunai RM911.

Menurut Khalil, ketiga-tiga kes itu disiasat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana berjudi di tempat bebas dan kesemua yang ditangkap berusia dalam lingkungan 20 hingga 80-an telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya polis turut mengadakan Ops Lejang pada 21 Feb lepas di Kampung Padang Buluh, Tikam Batu, dan berjaya menahan lima lelaki serta seorang wanita dipercayai terlibat dalam kes curi motosikal dan penyalahgunaan dadah.

Polis, menurutnya, menahan empat lelaki dan seorang wanita berusia 19 hingga 27 tahun dan merampas empat paket kecil dadah dipercayai ganja dan empat paket kecil dadah dipercayai syabu serta motosikal Yamaha Ego yang dilaporkan hilang.

Tiga unit modem Telekom Malaysia, tiga unit decorder Astro, satu unit telefon rumah bersama pengecas dan satu beg yang dipenuhi peralatan mengumpil termasuk gunting, parang dan sarung tangan turut ditemui, katanya.

Seorang lelaki, katanya, juga ditahan dalam operasi itu dan polis menemui empat enjin motosikal dan satu rangka serta satu enjin motosikal jenis Yamaha 125 yang dilaporkan hilang pada tahun 2008.

Khalil berkata kesemua yang ditahan kini direman selama tiga hari mulai 22 Feb lepas untuk membantu siasatan.

Beliau berkata kesemua yang ditahan itu disah positif dadah dan pihaknya percaya mereka bukan sahaja terlibat dalam kes curi motosikal tetapi juga dalam kejadian pecah rumah dan samun. – BERNAMA