6 Tips Berguna Mendidik Anak Cara Islam Dari Kaunselor


AMIRUL mengesat air matanya yang tumpah. Tidak mampu lagi untuknya menyekat air jernih yang sekian lama bertakung di kolam matanya. Namun hari ini dia tewas. Hati lelakinya yang keras, menjadi selembut kerak nasi yang direndam air.

Entah apa penghujung kesudahan hidupnya. Hatinya merintih. Mahu sahaja dia membawa lari adik-adiknya untuk keluar dari rumah yang telah hilang sinarnya.

Dulu, kehidupan mereka adik-beradik tidak begitu. Namun sejak ibunya bercerai dengan ayahnya, ibu seakan lupa diri.

Tanggungjawab kepada anak-anak langsung tidak diambil peduli. Soal makan-minum disediakan ala kadar. Soal pelajaran? Sekalipun tidak pernah si ibu bertanya apa perkembangan yang dilalui oleh anak-anaknya.

Lulus atau gagal bukan lagi menjadi urusannya. Pandai-pandailah anak-anak memilih untuk berjaya atau tidak.

Pernah sesekali Amirul menegur sikap ibunya yang lebih mementingkan kehidupan sosialnya bertemu rakan-rakannya daripada ambil tahu tentang anak-anak. Namun ini jawapan yang diterima oleh Amirul: “Engkau apa tahu. Hati aku kosong, sunyi dan kecewa. Pedihnya hanya aku yang rasa. Ini semua salah ayah kamu.”

Hati lelaki Amirul tidak lagi boleh menahan sabar. Selama ini tanggungjawab menjaga adik-adiknya dilepaskan kepadanya 100 peratus.

Sakit demam, duit belanja dan makan minum adik-adiknya, kalau tidak kerana Amirul yang ambil tahu, tak tahulah apa akan jadi pada adik-adiknya. Walhal Amirul pun ada tanggungjawabnya sebagai pelajar universiti.

Mujur lokasi tempat pengajiannya membolehkan dia berulang alik. Sekurang-kurangnya, pada waktu malam, Amirul dapat meluangkan masanya untuk menelaah pelajaran adik-adiknya.

Namun sampai bila ibu harus bersikap sedemikian? Tidak kasihankah ibu kepada Syafiqah yang sekian lama merindui peluk belai daripada seorang ibu? Apalah anak sekecil enam tahun itu tahu rencah kehidupan.

Setiap malam apabila Syafiqah bertanya kepada Amirul, mana ibu, hati Amirul mula sebak. Namun dia seboleh mungkin mengawal perasaan sedihnya agar penderitaannya itu tidak dikongsi bersama adik-adiknya. Pelbagai alasan diberikan. Tapi sampai bila? Persoalan yang belum tentu ada jawapannya.

Sesuatu yang amat dikhuatiri Amirul, apakah mungkin apabila tiada lagi kesabaran dalam diri, ibunya menjadi mangsa kebenciannya!

Pandangan Kaunselor

KASIH sayang dan belaian dalam kekeluargaan merupakan fitrah kehidupan yang menjadi dambaan setiap manusia. Sama ada lelaki atau perempuan, mereka memerlukan perhatian sebagai pemangkin kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Namun bukan semua kemahuan dan idaman dapat dinikmati. Ada manusia yang hidup penuh dengan derita dan duka lara.

Tidak kurang juga yang kehilangan kasih sayang di kala mereka amat memerlukannya daripada insan tersayang.

Begitu pun ada yang tidak mensyukuri nikmat hidup dikurniakan ibu bapa dan keluarga yang penyayang.

Sebaliknya melebihkan orang lain yang hanya mencintai fizikal semata-mata dan bukan daripada hati sanubarinya. Inilah resam kehidupan yang memerlukan manusia mempelajarinya agar tidak tersasar dari jalan kebenaran.

Kehilangan kasih sayang terutamanya daripada ibu bapa dan keluarga kian menjadi kebiasaan pada masa kini.

Kesibukan mengejar kemewahan, pangkat dan kedudukan menjadikan manusia lupa tanggungjawab dan kewajipan kepada anak-anak dan keluarga.

Keseronokan kehidupan yang sementara membuatkan manusia alpa dan terpukau dengan segala yang dimiliki.

Hakikatnya, sekalipun anak-anak adalah perhiasan kehidupan di dunia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaskud:
Harta benda dan anak-pinak ialah perhiasan hidup di dunia… (al-Kahfi: 46)
Namun itulah ‘harta’ yang perlu dijaga untuk manfaat di ‘negeri’ yang kekal abadi. Pun begitu, awas! jangan sampai anak-anak menjadi penyebab kepada kelalaian untuk kita beribadah. Justeru, didiklah mereka sebaik mungkin agar mereka tidak menjadi beban sebaliknya sebagai penyelamat kita di akhirat kelak.

Apa pun, antara lain kurniaan Allah kepada ibu bapa ialah perasaan kasih dan belas kepada anak-anak, simpati kepada mereka serta melayani mereka dengan penuh perhatian dan kasih sayang.

Perasaan yang berupa fitrah ini akan mendatangkan kesan positif kepada kehidupan anak-anak agar mereka membesar sebagai manusia yang bersyukur kepada Penciptanya.

Ingatlah pesan Rasulullah SAW yang bermaksud: 
“Bukanlah daripada golongan kami sesiapa yang tidak merasa kasihan belas kepada kanak-kanak kami (golongan kecil kami) dan tidak mengetahui hak orang-orang tua kami (tidak menghormati golongan tua kami.” (riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
Justeru, apabila ibu bapa mempunyai perasaan kasihan belas serta sikap prihatin kepada anak-anak mereka akan sentiasa menjalankan hak dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya.

Bahkan, perlakuan kasih sayang ibu bapa akan mencerminkan akhlak yang mulia kepada anak-anak, sekali gus menjadikan mereka manusia yang berbudi kepada ibu bapa apabila dewasa kelak.

Namun demikian, memanjakan anak-anak jangan sampai melupakan keutamaan keagamaan yang diperintahkan oleh Allah kepadanya. Rasulullah SAW berpesan yang bermaksud: 
Tiga sifat jika ia terlaksana pada seseorang, pasti orang itu akan merasai kemanisan iman iaitu (Pertama) ia mesti menyayangi Allah dan Rasul-Nya melebihi daripada sesiapa yang lain. (Kedua) jika ia sayang kepada sesiapa ia menyayangi orang itu kerana Allah sahaja. (Ketiga) amat membenci untuk kembali kepada kufur, sebagaimana bencinya ia dibuang ke dalam api neraka. (riwayat al-Bukhari)
Tip kaunselor

1. Sebagai ibu bapa kita berkewajipan mendidik dan memberi segala keperluan asas kehidupan anak-anak seperti makan, minum, pakaian, tempat tinggal dan juga pendidikan. Demikian juga anak-anak perlu diberikan nafkah kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya demi perkembangan anak-anak yang lebih baik untuk masa hadapan mereka.

2. Anak-anak yang dibesarkan dengan perasaan kasih sayang serta belas kasihan akan membesar menjadi manusia yang tahu menghargai orang lain. Mereka juga akan mengasihi orang lain sebagaimana ibu bapa memberikan mereka kasih sayang ketika mereka sedang memerlukan.

3. Fitrah manusia di dunia ini memerlukan lima keperluan yang asasi iaitu kasih sayang (love), keseronokan (fun), kebebasan (freedom), penghargaan (appreciation) dan keperluan untuk hidup termasuk keselamatan (survival). Justeru apabila manusia kehilangan salah satu daripadanya, mereka akan menghadapi masalah dalam kehidupan mereka.

4. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kehidupan sosial sehingga mengabaikan kasih sayang kepada anak-anak dan keluarga, tidak akan menguntungkan diri mereka. Sebaliknya ia satu kerugian kerana anak-anak ketika itu akan mula menjauhkan diri daripada ibu bapa sebagaimana yang pernah mereka lalui tatkala mereka amat memerlukan kasih sayang.

5. Anak-anak yang kehilangan kasih sayang akan mencari kekurangan itu melalui pelbagai sumber yang sudah pasti berisiko. Antaranya bergantung harap kepada rakan-rakan. Andai baik teman yang dipilih maka baiklah hasilnya. Namun apabila sebaliknya, maka kita sebenarnya telah memudaratkan kehidupan mereka. Paling menakutkan apabila anak-anak ini lebih bahagia apabila menjadikan dadah dan kehidupan yang melampaui batas sebagai ganti kasih sayang yang dicari.

6. Anak-anak perlu bijak menarik perhatian ibu bapa dengan melakukan sesuatu yang berfaedah serta tidak bercanggah dengan kehendak Allah. Doa dan harapan yang digantungkan kepada Allah menjadi penawar kedukaan jiwa akibat kealpaan ibu bapa menjalankan tanggungjawab mengasihi mereka. -Utusan