LOS ANGELES, California – Daerah Skid Row di sini mendapat jolokan
ibu kota gelandangan Amerika Syarikat (AS) kerana memiliki bilangan
penduduk tanpa tempat tinggal yang begitu ramai.
Bancian terakhir pada tahun 2013 menyatakan bandar raya ini dihuni seramai 39,500 orang gelandangan.
Bilangan mereka melonjak kepada 60,000 orang jika mengambil kira penduduk yang berkhemah dan menumpang kediaman orang lain.
Menurut anggaran terbaharu, terdapat kira-kira 3,000 orang yang tidur
di kaki lima jalan raya sekitar daerah itu pada setiap malam.
Mereka membuat tempat tidur menggunakan kadbod, fabrik atau plastik dan tidur berdekatan satu sama lain.
“Kami mengira seramai 24 orang gelandangan di sebatang jalan di Skid
Row,” kata seorang sukarelawan bancian, Harry Batt baru-baru ini.
“Kami bernasib baik kerana tidak melihat kanak-kanak atau mereka yang berusia bawah 18 tahun,” tambahnya.
Dalam pada itu, isu orang gelandangan turut mendapat perhatian Setiausaha Hal Ehwal Veteran AS, Robert McDonald.
Kehadiran beliau di Skid Row membayangkan kesungguhan Presiden Barack Obama untuk mengatasi masalah itu.
“Daripada sejumlah 630,000 gelandangan di AS, hampir 50,000 daripada mereka ialah veteran tentera,” menurutnya. – AFP