Abdul Hadi Belum Sah Kehadiran Majlis Makan Malam PasMa

Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), kata Datuk Phahrolrazi Zawawi
Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Datuk Phahrolrazi Zawawi mengaku ada menjemput Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi ke majlis makan malam perdana yang akan diadakan pada 27 Februari ini.

Katanya, selain Abdul Hadi, pihaknya turut menjemput Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan beberapa pemimpin utama Pakatan Rakyat bertempat di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Bagaimanapun, Phahrolrazi menjelaskan hanya beberapa pemimpin sahaja yang sudah mengesahkan kehadiran mereka ke majlis amal anjuran NGO itu, tidak termasuk Abdul Hadi.

"Setakat ini beberapa pemimpin bersetuju untuk hadir iaitu Lim Kit Siang, PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan PAS Datuk Mujahid Yusof Rawa," kata Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Kedah itu.

Difahamkan bahawa tujuan majlis makan malam amal itu diadakan bagi mengumpul dana dan memperkenal NGO itu kepada Pakatan Rakyat.

Phahrolrazi juga merupakan ADUN Pengkalan Kundor dan pernah menjawat jawatan Exco Kerajaan Negeri Kedah ketika PAS memerintah negeri Kedah selama sepenggal sebelum ini.

Beliau dikatakan telah bermusuh secara terbuka dengan bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Razak sejurus sebelum Pilihanraya Umum ke-13 yang menyaksikan PAS gagal mempertahan kuasa di negeri itu.

Selain itu, Phahrolrazi turut dikatakan antara punca PAS hilang kuasa di negeri tersebut ekoran tindakannya "menyerang" dan memperlekeh Pesuruhjaya PAS Kedah itu yang disifatkan tidak mampu memimpin kerana hanya hidup dengan "enjin tiga silinder", merujuk kepada tahap kesihatan Allahyarham.

Kemelut di antara bekas Exco itu dengan Allahyarham Ustaz Azizan dikatakan berlanjutan hingga Menteri Besar itu menghembus nafas terakhir dan Phahrorazi kini dikaitkan pula oleh akar umbi parti dengan gerakan dalaman PAS untuk menggulingkan Abdul Hadi selaku Presiden. -Kedahnews.com