Aksi "Drama" Lelaki Pura-Pura Pengsan Di Guar Chempedak!

Guar Chempedak - Kedahnews.com menyangkakan bahawa hanya di China sahaja banyak kes yang membabitkan kemalangan palsu sebagaimana yang dilaporkan media di sana, tapi rupa-rupanya di Kedah pun kes sebegini sudah mula menular.

Baru-baru ini, penduduk di Guar Chempedak, Kedah menjadi tiba-tiba kecoh melihat gelagat seorang lelaki yang dikatakan sengaja berpura-pura pengsan dalam satu kemalangan yang juga dilapor sengaja dicetuskan sendiri olehnya dengan sebuah kereta.

Gara-gara gelagat lelaki itu dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 2.30 petang Sabtu lalu itu, pengguna jalan raya terpaksa memberhentikan kenderaan hampir 30 minit selepas perjalanan mereka terhalang.

Seorang saksi kekecohan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Hanim, 34, memberitahu bahawa sebelum kejadian, dia melihat lelaki itu berlegar-legar di tepi jalan raya.

Dia kemudian dikatakan kemudiannya telah melompat ke arah sebuah kereta yang kebetulan melepasi lampu isyarat dari Alor Setar menghala ke Sungai Petani.

“Pada mulanya, saya lihat lelaki itu bangun semula dan berjalan ke tepi jalan, namun selepas dia melihat kereta itu berhenti, dia segera kembali ke tengah jalan dan berbaring semula,” katanya yang dipetik dari sebuah media.

Dilaporkan bahawa pemandu kereta terbabit yang juga seorang wanita sempat mengelak daripada melanggarnya namun lelaki itu dilihat tetap mahu berpura-pura pengsan dan terbaring tak bergerak di atas jalan raya.

Bagaimanapun, motif sebenar lelaki tersebut bertindak demikian sama ada untuk tujuan menuntut pampasan insuran, gantirugi daripada pemandu atau sekadar cuma mahu diberi perhatian orang ramai, tidak dapat Kedahnews.com dipastikan.

Justeru itu, kami menyeru kepada seluruh anak-anak Kedah supaya tidak melakukan aksi yang serupa seperti lelaki itu di masa akan datang kerana ia bukan saja memalukan diri sendiri, malah ia mampu mengaibkan keluarga dan semua warga Kedah yang lain, kan? -Kedahnews.com