Aksi Ikat, Libas Cemeti Punca "Fifty Shades Of Grey" Diharam Tayang

Salah satu aksi panas yang menjadi penyebab Fifty Shades of Grey diharam tayang di Malaysia
Ekoran pengharaman tayangan filem adaptasi novel, Fifty Shades of Grey, telah menimbulkan tanda tanya dari segelintir pihak berkenaan tindakan tegas yang diputuskan panel Lembaga Penapisan Filem (LPF) terhadap filem tersebut.

Meskipun ramai yang tahu bahawa filem tersebut berkisarkan tentang cinta dan intimasi ‘ganas’ pasangan hero dan heroinnya, namun ada yang berpandangan bahawa ia tidak wajar diharamkan, cukup sekadar diklasifikasikan buat golongan dewasa sahaja.

Oleh yang demikian, Pengerusi Lembaga Penapisan Filem (LPF), Datuk Abdul Halim Abdul Hamid tampil memberikan jawapan rasional terhadap keputusan yang dikeluarkan oleh badan penapisan filem tersebut.

Memetik Astro Awani, beliau berkata, adegan seks sadis menjadi punca utama pengharaman filem berkenaan di Malaysia kerana ia disifatkan sebagai keterlaluan dan lari dari norma kebiasaan.

"Sekadar makluman, seks sadis (sadist sex) bermaksud individu yang memuaskan nafsu seksual melalui medium ganas termasuk menyakiti diri sendiri mahupun pasangannya.

"Adegan-adegan tersebut yang dipaparkan dalam Fifty Shades of Grey menyebabkan ia terus termasuk dalam kategori filem lucah dan tidak sesuai buat tontonan umum.

"Ada adegan yang menunjukkan wanita itu diikat di tiang katil dan pasangannya memukul dengan cemeti.

"Tiada alasan untuk kita membenarkan filem sebegini ditayangkan di negara kita, dan kita di LPF mengikut akta yang termaktub di dalam undang-undang," katanya yang dipetik dari laman media itu.


Selain itu, beliau yang disogok dengan soalan kemungkinan filem berkenaan akan cuba "diseludup" masuk ke Malaysia secara tidak sah, beliau menjelaskan pihaknya hanya menjalankan tugas yang diamanahkan dan yakin agensi penguatkuasa yang berkaitan akan berperanan memantau perkara itu supaya tidak berlaku.

"Kita hanya menjalankan tugas mengikut Akta Penapisan Filem dan agensi berkenaan harus memantau seandainya filem itu masuk ke negara ini dengan cara berlainan.”

Difahamkan bahawa pengedar filem berkenaan, United International Pictures (UIP) sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa filem berkenaan bakal ditayangkan di Malaysia pada 12 Februari depan.

Menampilkan lakonan Jamie Dornan dan Dakota Johnson, ia merupakan adaptasi dari novel ‘best-seller’ karya E. L. James yang mengisahkan kehidupan seorang gadis Anastasia Steele yang berubah setelah bertemu jejaka jutawan, Christian Grey. -Kedahnews.com