Anak Muda Jerlun Ramai Pilih Jadi Nelayan


JERLUN - Kerjaya sebagai nelayan bukanlah pilihan kebanyakan anak muda, namun di perkampungan nelayan seperti di Kampung Kuala Jerlun, golongan belia dilihat menjadi penyambung legasi nelayan tradisional yang bertapak sejak turun-temurun.

Lebih 50 anak muda berusia bawah 40 tahun di kampung itu menjadi pewaris nelayan yang memainkan peranan penting dalam sektor perikanan negara.

Bagi mereka, nelayan menjadi kebanggaan dan lebih suka menetap di desa berbanding berhijrah di bandar besar.


Laut sebagai punca rezeki

Suhaimi Othman, 26, berkata, dia tidak mahu melanjutkan pengajian selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memilih nelayan sebagai kerjaya.

Menurutnya, selepas SPM dia terus menjadi nelayan dan mempelajari selok-belok lautan dengan orang lebih berpengalaman.

"Pada mulanya saya ikut kawan-kawan yang dah biasa ke laut dan belajar cara tangkap ikan.

"Memang pada awalnya agak sukar sebab banyak benda kena belajar, tapi jadi mudah bila kita minat dan jadikan laut sebagai tempat cari rezeki. Jadi nelayan seronok walaupun banyak cabaran kena hadapi," katanya.

Bagi Mohd Azhar Zainal, 20, berkata, dia bangga berperanan sebagai nelayan kerana dapat berbakti kepada masyarakat dan negara melalui sektor tersebut.

Menurutnya, walaupun pendapatan mereka tidak menentu kerana bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan dan faktor cuaca, pekerjaan itu dianggap murni kerana menyediakan keperluan kepada orang ramai.

“Mungkin orang memandang nelayan ini sebagai kelas bawahan, tetapi kita patut sedar nelayan memainkan peranan penting dan mendapat perhatian khusus daripada kerajaan.

“Di kampung kami, majoriti penduduk merupakan nelayan dan ia diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya. Pastinya saya bangga dengan kerja ini dan yang penting kami mencari rezeki halal dengan usaha sendiri,” katanya.


Tempuhi pelbagai cabaran

Mohd Saddam Md Nor, 24, pula berkata, sebagai nelayan, cabaran berdepan keadaan cuaca sama ada panas atau hujan adalah perkara biasa.

Menurutnya, sebagai orang muda, cabaran mereka adalah untuk mendapatkan hasil tangkapan yang banyak setiap kali ke laut.

“Jadi kami kena mahir dengan kawasan yang menjadi tumpuan ikan, kaedah tangkapan menggunakan pukat, pengendalian bot dan jalan-jalan laut.

“Sebagai nelayan kita kena selalu peka dengan keadaan cuaca supaya tidak terperangkap dengan cuaca buruk dan berbahaya,” katanya.

Katanya, cabaran lain adalah untuk memasarkan hasil tangkapan dan memastikan pendapatan mereka berbaloi dengan pekerjaan yang dilakukan.

“Harga ikan bergantung kepada musim. Sekiranya musim tangkapan ikan banyak, harga ikan lebih murah. Kalau musim ikan kurang, harganya akan mahal seperti musim tengkujuh,” katanya.

Dalam pada itu, sebagai penyambung generasi nelayan tradisi, anak-anak muda di Kampung Kuala Jerlun berharap lebih banyak inisiatif kerajaan dapat diberikan kepada mereka dalam bentuk latihan kepakaran dan dana.

Ini kerana, nelayan turut memerlukan modal bagi memulakan kerjaya mereka seperti kemudahan bot, pukat dan keperluan lain. -Sinar Harian