KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dalam proses memohon
belas ihsan daripada Yang di-Pertuan Agong sebagai seorang pesalah, kata
Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam) Datuk Khairul Anwar Rahmat.
Beliau berkata tindakan memfailkan petisyen pengampunan membawa
maksud Ketua Pembangkang itu mengaku atas pertuduhan meliwat bekas
pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
“Ia menunjukkan Anwar menerima keputusan yang telah diberikan oleh
Mahkamah Persekutuan dan apabila meminta pengampunan, ia membawa maksud
dia telah mengaku. Permohonan pengampunan itu bukannya untuk menafikan
hukuman yang telah dijatuhkan.
“Sekarang adalah proses mohon belas ihsan bagi pesalah yang dijatuhi hukuman,” jelasnya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pada 24 Feb lepas, isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
serta dua anak mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha, menyerahkan petisyen
pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam
Shah berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar
dalam kes liwat II.
Ketika ditanya mengenai kesediaan Menteri Komunikasi dan Multimedia
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyediakan platform untuk sesi debat
terbuka antara Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Presiden Badan
Peguam Christopher Leong, yang mempertikai keputusan kes liwat Anwar,
Khairul berkata beliau tidak menyokongnya.
“Segala hujah, perdebatan, keterangan, alibi, bukti dan pengakuan
bersumpah telah dibuat di mahkamah. Apabila keputusan telah dibuat,
tidak seharusnya dan sewajarnya perdebatan dibuat di luar mahkamah.
“Ia (jika dilakukan) akan menjadi perbincangan umum dengan pelbagai
persepsi kerana mahkamah menjatuhkan hukuman berdasarkan fakta yang
berpaksikan akta dan undang-undang. Elakkan daripada persepsi.
“Saya fikir, biarlah kita bagi ruang kepada pihak-pihak mempertikai
ini menerima keputusan yang ditetapkan kerana ia telah diputuskan di
peringkat paling tinggi di Malaysia,” katanya.
Selain itu, katanya hampir 16 tahun rakyat dikelirukan oleh pelbagai
teori serta andaian dan kini tiba masanya untuk rakyat menerima dan
menjadikan kes Anwar sebagai iktibar bahawa tiada siapa akan terlepas
daripada undang-undang jika terbukti bersalah.
Peguam Shaharuddin Ali juga tidak menyokong cadangan perdebatan itu
kerana berpendapat ia boleh disalah erti oleh pihak luar yang menyangka
keputusan Mahkamah Persekutuan boleh dipersoalkan lagi.
“Pihak-pihak luar boleh menyangkakan seolah-olah keputusan Mahkamah
Persekutuan boleh dipersoalkan lagi, padahal ia tidak boleh
(dipersoalkan) kerana keputusan Mahkamah Persekutuan adalah muktamad.
“Lapan hakim telah berkata bahawa Anwar bersalah dan hanya satu hakim sahaja iaitu di Mahkamah Tinggi membebaskannya,” katanya.
Menurutnya perbahasan sedemikian juga boleh disalahertikan sebagai menghina keputusan mahkamah.
“Kena ingat bahawa dalam kes ini, Muhammad Shafee adalah wakil peguam
negara dan juga timbalan pendakwa raya, jadi dalam undang-undang,
beliau adalah penjawat awam. Adalah tidak elok, mereka yang berstatus
penjawat awam untuk berentap sedemikian,” katanya. – BERNAMA