Pada minggu lalu, Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama telah membuat kunjungan hormat ke India ketika Hari Republik India dan dijadualkan bertemu
dengan Perdana Menteri negara tersebut, Narendra Modi.
Bagaimanapun, kebanyakan media antarabangsa yang membuat liputan untuk lawatan rasmi tersebut
tertanya-tanya tentang ketiadaan wanita pertama India pada saat negara
tersebut sedang meraikan hari bersejarah serta menyambut kedatangan
pemimpin dari negara berpengaruh seperti Obama.
Apatah lagi Obama turut membawa isterinya, Michelle, dalam lawatan tersebut.
Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Presiden AS, Barrack Obama |
Sebenarnya, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa sejak dahulu lagi, isteri Perdana Menteri India, Jashodaben Chimanlal Modi, sememangnya tidak pernah
kelihatan berada di samping suaminya, walaupun setelah suaminya itu telah diangkat menjawat kerusi perdana menteri.
Rupa-rupanya, di sebalik misteri tersebut, tersembunyi satu kisah mengenai Jashodaben yang sangat setia, patuh dan taat pada suaminya itu.
Menurut portal New Zealand Herald, wanita pertama India itu sehingga kini masih menantikan panggilan daripada suaminya itu setelah berdekad tidak bertemu.
Wanita Pertama India, Jashodaben Chimanlal Modi |
"Jika dia memanggil
saya, saya akan pergi," katanya merujuk kepada harapan isteri Perdana Menteri India itu agar Modi, 64,
menjemputnya untuk sama-sama berada di sampingnya.
Lebih mengharukan, isteri Perdana Menteri India itu lebih mengharapkan agar suaminya itu berjaya menunaikan semua janji-janjinya kepada rakyat dan dia sebagai isteri sering mendoakan perkara tersebut.
"Saya dengar semua ucapannya di televisyen. Saya rasa
gembira setiap kali mendengarnya. Saya mengharapkan dia dapat menunaikan
semua janji-janjinya kepada rakyat. Itu doa saya kepada Tuhan." jelasnya mencurahkan perasaannya.
Difahamkan sebelum ini, status perkahwinan Modi bersama Jashodaben tidak
diketahui umum hinggalah Modi mendedahkannya pada April tahun lalu
sebulan sebelum beliau dilantik menjadi Perdana Menteri India.
Pasangan tersebut berkahwin pada usia belasan tahun sebelum Modi
memutuskan untuk "mengabdikan" diri dalam bidang politik beberapa
tahun selepas berkahwin dan meninggalkan Jashodaben di sebuah
perkampungan kecil di Gujarat.
Walaupun berpuluh-puluh tahun tidak bertemu, namun Perdana Menteri India itu tidak pernah menceraikan isterinya. -Kedahnews.com