Hanoi – Beribu-ribu ekor kucing yang diselamatkan daripada menjadi
hidangan di restoran Vietnam, akhirnya mati juga selepas binatang
berkenaan dihempap dengan lori trak, dalam pembunuhan yang mengejutkan
itu.
Sebelum itu,lebih tiga tan kucing yang berasak-asak dalam kurungan
buluh itu diselamatkan ketika ia dalam perjalanan untuk dijual ke
restoran untuk dimasak.
Namun sebaik diselamatkan, kucing itu dihempap dengan trak berkenaan
ketika masih berada dalam kurungan buluh tersebut berikutan kebimbangan
binatang itu akan menyebarkan penyakit.
Menurut kumpulan kebajikan binatang ACPA, Le Duc Chinh, pihak
berkuasa memberi alasan binatang itu terpaksa dibunuh dan ditanam kerana
bimbang dengan penyakit berjangkit.
“Kucing itu ditanam dan ditabur kapur. Kebanyakan kucing tersebut mati ketika dalam perjalanan dari China ke Vietnam.
“Saya bertanya kenapa mereka melakukan demikian kepada kucing-kucing
tersebut namun pihak berkuasa menegaskan mereka hanya mengikut
undang-undang iaitu setiap binatang yang tidak mempunyai sijil
pengesahan kesihatan perlu dimusnahkan,” katanya.
Le Duc bagaimanapun menafikan sesetengah kucing ditanam hidup-hidup. -Agensi